Wednesday, June 16, 2010

Superhero Kapoww Papar lawak sengal namun sarat pengajaran

Melihatkan pada judul filem yang diberi nama Kapoww, menimbulkan persoalan maksud yang tersimpan disebaliknya.

Keterujaan juga akan bertambah apabila sesuatu yang pelik menyelingkari judulnya. Namun apabila sudah mengetahui ianya bergenre komedi pasti ada segelintir yang sudah mampu meneka.

Kapoww yang membawa maksud Kesatuan Antarabangsa Peringkat Olimpik Wira-Wira, merupakan sebuah filem grafik komik superhero seperti Batman, Superman dan Ironman.

Pengarah serta penulis skripnya, Azizi Adnan yang lebih dikenali dengan Azizi Chunk yang sebelum ini pernah mengarah filem Antoo Fighter telah menggarapkan jalan ceritanya penuh dengan kreativiti serta lawak sinikal yang mampu membuatkan penonton gelak hingga pecah panggung.

“Pada awalnya saya sudah kecewa untuk menghasilkan filem yang karut-marut memandangkan penerimaan penonton lebih kepada yang mellow dan soal cinta. Namun, setelah berjaya mengarahkan filem bergenre komedi seperti Antoo Fighter, saya terdorong untuk menghasilkan filem berbentuk komik memandangkan sejak kecil lagi saya meminati kisah superhero terutama Ultraman,” katanya yang sudah berkecimpung dalam dunia pengarahan lebih kurang 13 tahun.

Lebih menarik, Azizi sempat berkongsi rahsia disebalik penghasilan Kapoww. Dia turut berterima kasih kepada Sifu M.Nasir atas suntikan semangat yang diberikan.

“Masih ingat lagi pada ketika itu saya mengunjungi Luncai Emas yang terletak di Sungai Buloh kerana ada urusan kerja. Dalam pada itu kami berbual panjang hingga tiba-tiba telah mengungkap topik mengenai hasrat menghasilkan sesuatu yang terbaik di luar jangkaan orang.

"Sebaliknya Sifu memberi pesanan bahawa dalam berkarya kita boleh menghasilkan apa sahaja mengikut kemahuan tidak kira apa pun. Namun satu perkara mesti diingat, setiap karya itu perlu menerapkan nilai emosi kerana benda ini yang menarik minat orang untuk menghargai hasil kita,” katanya.

Walupun filem superhero Malaysia ini, hampir keseluruhannya menerapkan lawak sinikal namun penghasilannya membangkitkan hilai tawa penonton yang mengiringi perjalanan filem hingga ke saat akhir durasinya.

“Apa yang cuba disampaikan adalah mesej berguna dan turut memainkan emosi. Walaupun adakalanya ia berkias-kias namun boleh difahami secara terus,” katanya.

Menurutnya, filem ini sangat sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Walaupun dari mata kasar ia seakan mengarut namun fokusnya untuk menyampaikan mesej yang lazim diterapkan dalam keluarga telah sampai.

Pastinya Azizi Chunk masih mengetengahkan kesantunan dan budaya ketimuran melalui dongeng ringan ini.

Mujurlah pemilihan pelakon sangat ditekankan, ini kerana apabila skrip sudah kelakar pastinya setiap pelakon bijak memainkan peranan selari dengan skripnya hinggakan mampu menjadikan ia lebih kelakar lagi.

Dengan itu pemilihan pelakon seperti Zizan Raja Lawak sebagai watak utama sangat tepat kerana boleh berlawak dan berlakon dengan gaya bersahaja.

Selain itu, turut dibantu oleh pelakon-pelakon terkenal seperti Lisa Surihani sebagai Siti Nurhasnita, Rosnah Mohd Aris (Astromen Mak), Awie (Astromen Wau), Harun Salim Bachik (Astromen Belalang), Delyla (Astromen Sedut), Bell Ngasri, Afdlin Shauki, Norlia Ghani, Khir Rahman dan ramai lagi.

Ternyata filem ini pastinya membuatkan anda terpegun dengan aksi-aksi yang begitu menarik sekaligus kagum melihatkan pelakon kita mampu membawa watak superhero.

Sementara itu, dalam tembual bersama Sinar Harian, Azizi Chunk tidak menolak dalam menghasilkan filem sebegini telah membabitkan penggunaan teknik janaan computer (CGI) yang banyak.

Di samping itu, kerja pengambaran menjadi agak lancar dengan penggunaan kamera Red One terbaru yang lebih digital yang menggunakan hard disk di mana resolusinya juga sama seperti penggunaan kamera filem. Di samping ia lebih mudah bagi memasukkan unsur animasi, dapat juga menjimatkan kos.

Menurut pengarah ini, hasilnya dalam menonton Kapoww anda akan terasa seolah-olah sedang membaca komik yang bergerak dengan kesan visual yang lebih mantap.

“Daripada segi teknikal, krew produksi dan beberapa syarikat animasi banyak membantu untuk menjadikan filem Kapoww ini komik sebenar dengan latar belakang yang dilihat seakan nyata,” katanya yang merasakan filem ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan filem-filem lain.

Mungkin ada yang menonton filem kerana suka menilai daripada segi sinematografinya. Ada juga yang berpendapat di sebalik filem berasaskan komik ini tidak dapat melihat hasil seni itu.

“Ada sesetengah penonton silap, dalam filem sebegini masih lagi diketengahkan sinematografi yang cantik. Ia lebih diketengahkan dari segi penggunaan warna dan mainan corak latar belakang komik itu sendiri. Dengan itu saya menekankannya ketika melakukan editing dengan membentuk gaya komik yang lebih terperinci kepada filem Kapoww ini,” katanya.

Filem Kapoww mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai Khamis ini.

3 comments:

  1. layari kapoww atoi the ajaib boy di facebook !

    ReplyDelete
  2. cite ni mmg best n klaka sangat....gabungan antara bell ngan zizan mmg tepat skali...pecah perot org dibuatnye...bg sesiapa yg blum tgk ag...cpt2 la tengok...x rugi punye...cite ni mmg best...klaka sgt...

    ReplyDelete
  3. Filem ni memang Filem melayu lain dari yang lain.. Siapa sangka Zizan boleh berlakon serius dan lawak begitu bagus sekali. Dan siapa sangka Belle boleh jadi begitu kelakar sekali. Dan yang paling menggelikan hati bila mendengar awie bercakap loghat kelantan. Sampai sekarang seisi keluarga yang menonton asyik bercakap loghat kelantan versi Awie dirumah walaupun kami semua berasal dari kedah.. Hinggakan anak anak yang turut menonton asyik menjerit "ADIPAK!!!" .. sungguh dalam impak filem ini kepada yang menontonnya.

    Filem ini bukan sahaja menghidangkan dialog dan adengan kelakar sahaja namun terdapat mesej mesej yang moral .

    Tahniah kepada semua pelakon, krew, team production dan juga makcik buat air . Namun ucapan tahniah harus diberikan kepada pengarahnya Azizi Chunk kerana berani dan berjaya membawa satu kelainan dalam industri perfileman kita.. Tapi bila dah glamour dan bila dah bergambor di tepi kolam renang janganlah lupakan kami yer.. hehehe

    terbaekkk!!!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: