JOHANNESBURG - Para peminat bola sepak akan berdepan suhu hampir beku pada hari perlawanan pembukaan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan hari ini iaitu kejohanan musim sejuk pertama sejak lebih tiga dekad lalu.
"Hari akan menjadi sejuk," kata seorang pegawai perkhidmatan kaji cuaca Afrika Selatan, Lulama Menze.
Suhu di stadium Soccer City di bandar raya ini yang menjadi lokasi perlawanan pembukaan antara pasukan tuan rumah menentang Mexico dijangka turun hingga tiga darjah Celsius pada waktu malam.
Piala Dunia di Afrika Selatan berlangsung di sembilan bandar raya yang mempunyai suhu yang berbeza-beza.
Ibu negara Afrika Selatan, Johannesburg berada pada altitud tinggi dan suhu boleh membeku di waktu malam pada musim sejuk manakala bandar raya Durban yang terletak di tepi pantai mencatat suhu panas maksimum 27 darjah Celsius apabila Jerman menentang Australia pada Ahad ini.
Suhu sejuk itu dijangka tidak mengganggu para peminat bola sepak dari Barat yang sudah biasa dengan cuaca empat musim walaupun ketika ini Hemisfera Utara sedang mengalami musim panas.
"Mereka tidak akan berasa sejuk kerana sudah biasa dengan suhu yang jauh lebih sejuk di Hemisfera utara tetapi bagi rakyat tempatan cuaca itu dianggap sudah sejuk," jelas Menze.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: