Tuesday, June 1, 2010

Subkhiddin teruja jadi pengadil pada Piala Dunia

PETALING JAYA - Selepas memulakan karier sebagai pengadil bola sepak 20 tahun lepas di peringkat daerah, Subkhiddin Mohd Salleh kini teruja apabila berada di kemuncak dunia.

Beliau kini sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab selaku pengadil di Piala Dunia Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) yang akan berlangsung di Afrika Selatan dari 11 Jun hingga 11 Julai ini.

“Saya berharap dengan pemilihan saya ini akan menimbulkan satu inspirasi kepada pengadil-pengadil yang lain, mahupun generasi muda untuk melibatkan diri dalam bidang pengadilan bola sepak.

“Sebagai seorang pengadil bola sepak, sememangnya semua menginginkan untuk menjadi pengadil di Piala Dunia. Inilah ‘ultimate goal’ bagi seorang pengadil,” kata pengadil yang berusia 43 tahun itu pada sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Jurulatih Datuk Raja Ahmad Zainuddin.

Pemilihan oleh Fifa itu menjadikan Subkhiddin sebagai rakyat Malaysia pertama terpilih sebagai pengadil perlawanan.

Seramai 30 pengadil akan bertugas mengendalikan 64 perlawanan sepanjang kejohanan yang berlangsung selama sebulan itu.

“Setibanya di sana, saya dan lain-lain pengadil perlawanan yang telah dipilih akan terus menjalani latihan penyesuaian. Selain latihan fizikal, kami juga akan didedahkan dengan aplikasi undang-undang pertandingan dalam satu perlawanan ujian yang melibatkan pemain-pemain remaja di sana,” katanya.

Menurutnya, sebagai calon pengadil perlawanan bola sepak Piala Dunia, mereka perlu bersedia sejak tahun 2007 daripada segi fizikal, mental dan psikologi.

Semasa menjalankan tugasan di Piala Dunia Fifa 2010, Subkhiddin akan dibantu dua penjaga garisan iaitu Yuxin Mu dari China dan Jeffrey Gek Pheng dari Singapura.

Beliau akan berangkat hari ini ke ibu negara Afrika Selatan, Johannesburg, untuk memulakan tugasannya di Piala Dunia.

Bagaimanapun, disebabkan terikat dengan perjanjian dan garis panduan Fifa, Subkhiddin tidak dibenarkan memaklumkan perlawanan yang akan dikendalikannya semasa Piala Dunia nanti.

Selain Subkhiddin, dua wakil FAM akan turut akan terlibat pada Piala Dunia Fifa 2010 iaitu Datuk Dell Akhbar Khan (Keselamatan) dan Paul Windsor (komisioner perlawanan dan koordinator venue).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: