TELOK MAS - Seramai 800 kakitangan baru diperlukan bagi mengisi kekosongan jawatan di Penjara Melaka, Sungai Udang, sejak ia mula beroperasi pada 20 Mei lalu.
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar berkata, keadaan ekonomi kurang stabil menyebabkan perjawatan baru ditangguhkan sehingga kerajaan membenarkan pengambilan dijalankan.
“Bagaimanapun, pihak penjara telah menghantar permohonan kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk menguruskan pengambilan secara berperingkat,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Bacalah... Kau Masih Dihati anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Sekolah Henry Gurney, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar; Ikon PNM dan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie.
Sementara itu, menurut Zulkifli, seramai 150 kakitangan penjara dan 130 banduan dipindahkan dari Penjara Banda Hilir ke Penjara Sungai Udang.
“Setakat ini tiada penambahan kakitangan baru dan hanya beberapa kakitangan masih ada di penjara Banda Hilir untuk mengawal selia kerja-kerja memandangkan penjara itu akan dijadikan muzium,” katanya.
Beliau berkata, hanya satu blok digunakan untuk menempatkan semua banduan yang dipindahkan sementara kerja-kerja mengkategorikan dan mengklasifikasikan banduan berdasarkan hukuman dilakukan.
Penjara Melaka yang dirasmikan pada 19 Mei lalu merupakan penjara yang ke-41 dan boleh memuatkan sehingga 3,000 banduan dalam satu masa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: