TANGGAL 12 Jun 2010, tepat pukul 11.55 pagi, air mata penyampai radio Hot FM, Anne, 29, tumpah dengan Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur menjadi saksi. Bukan sembarangan, linangan manik-manik putih itu mengisyarat pengertian bahawa putaran hidupnya sebagai kaum Hawa hampir mencapai aras kesempurnaan.
Usai sahaja pasangannya, Nik Mahathir Zainudin, 33, melampias segenap cinta dengan senafas akad nikah, pemilik nama lengkap, Putri Andreanna Syigim Mohd. Razalli tidak mampu membendung tangisan bergelar isteri kepada sang jejaka yang mendampingi hatinya sejak empat tahun lalu.
Manis bergelar ratu sehari dengan solekan sederhana sambil mengenakan sepersalinan rona putih dan bertudung, Anne mengaku ada istimewanya air mata yang membasahi pipi. Tidak sesekali berselindung dengan umum, dia pantas berkongsi kecamuk rasa pada hari pernikahannya dengan Nik.
"Saya pasti, semua pengantin menangis kegembiraan apabila berdepan situasi sama seperti ini. Sejak awal lagi, saya sudah rasa sangat kebal. Tanpa disangka, ia menitis juga tanpa dapat ditahan. Tetapi, saya cukup kagum dengan diri sendiri yang masih dapat kawal perasaan.
"Mudah dijelaskan, ia merupakan air mata gembira dan sedih saya pada hari ini," spontan jawab Anne sambil anak matanya mengerling manja ke arah Nik yang lebih banyak mendiamkan diri dan sesekali melayangkan senyuman manis sewaktu diwawancara pada petang itu.
Kegembiraan itu terang Anne, ditujukan kepada dirinya yang secara rasmi menjadi milik penuh pemuda bertugas sebagai pereka grafik di agensi berita Al-Jazeera. Dia mahukan seseorang bernama lelaki sebagai dahan berpaut sekali gus mampu menjaganya sehingga ke hujung nyawa.
"Sedihnya pula apabila arwah emak (Raja Norhizam Raja Adnan) yang meninggal dunia hampir tiga tahun lalu akibat penyakit jantung tidak berpeluang lihat hari bahagia saya dan Nik. Dalam hati penuh hiba, saya bagaimanapun masih bernasib baik kerana dikelilingi saudara-mara cukup menyokong dan membantu menguruskan persiapan majlis ini.
"Selalunya pengantin perempuan ada pembantu iaitu emak. Tanpa diragui, mereka menjadi insan paling sibuk buat pelbagai persiapan semata-mata inginkan kelancaran pada hari penting anak sendiri. Biarpun ada mak cik-mak cik di sisi, keadaan ini tetap tidak sama dengan emak kita," ujar anak bongsu daripada dua beradik itu yang turut mengaku ralat kerana meraikan hari bahagia tanpa ibu tercinta.
Berbicara soal tanggungjawab dipikul selepas bergelar isteri, penyampai yang mengendalikan segmen Hot FM Jam bersama Kieran setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 4 petang dan berakhir 8 malam, memberitahu rutin kerjanya masih sama. Dia juga berusaha keras menyeimbangi antara kerja dan kehidupan baru nanti.
"Saya tidak boleh hendak kata berat sebab belum nampak lagi apa bakal mendatang. Tetapi, saya tahu amanah sebagai isteri tidak hanya memasak atau melayan suami. Ia sebaliknya memerlukan pemikiran tatkala melakukan setiap perkara dalam rumah tangga ini.
"Harus diingatkan, kita bukan lagi dalam fasa sebagai pasangan kekasih. Menjadi isteri atau suami hakikatnya memerlukan komitmen tinggi," luahnya yang tertarik dengan sikap penyabar Nik melayani sikapnya.
Sementara itu, Nik yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik memberitahu, dia amat tertarik dengan sikap dedikasi dan berdiri di atas kaki sendiri Anne. Cuma ada satu kontranya, si isteri lebih banyak bercakap berbanding dirinya.
"Perbezaan ini membuatkan saya dan Anne umpama saling melengkapi. Walaupun ada sedikit perbezaan, kami tetap sentiasa memahami dan mudahnya menerima perangai sesama sendiri," ujar Nik yang merisik Anne pada 28 November tahun lepas dan mereka membuat keputusan tidak mengikat tali pertunangan.
Pakai tudung
|
|
Selain berbual tentang rencana hidup berumah tangga, Anne sempat meluahkan keinginannya bertudung.
Jujurnya kata Anne dia tidak berniat untuk mengumumkan keinginan tersebut. Namun oleh kerana ramai media yang sudah dapat menghidu keinginan itu, dia tidak lokek berkongsi cerita.
Kata Anne: "Kalau boleh saya hendak terus pakai tanpa beritahu orang lain. Biarlah ia jadi kejutan. Nampaknya, sekarang ia bukan lagi rahsia. Sebenarnya, saya tergerak hati hendak pakai tudung bermula tahun ini. Sejujurnya, ia bukan kemahuan atau arahan daripada suami. Niat ini datang secara tiba-tiba. Tetapi biar mental saya terlebih dahulu bersedia sepenuhnya."
Keinginannya itu disambut baik oleh suami. Kata Nik ringkas: "Saya lebih suka dia pakai tudung."
Selain mengadakan jamuan di kediaman keluarga di Bandar Sri Damansara selepas diijabkabulkan, pasangan itu turut mengadakan resepsi perkahwinan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara keesokan harinya dengan tema persandingan dalam taman.
Hanya bercuti selama seminggu sebelum mula bertugas sehari selepas majlis bersejarahnya, Anne bakal bertandang ke teratak mempelai lelaki di Bukit Indah, Ampang, Selangor, 19 Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: