Thursday, June 17, 2010

The Mod Musical: Shout heboh bersama Ning!


NING BAIZURA (tengah) Nikki (baju kuning) dan barisan pelakon teater The Mod Musical: Shout! yang sedang berlangsung di Performing Arts Centre, Sentul Park.


ANDA peminat muzik ala 60-an? Tunggu apa lagi, ayuh dapatkan tiket segera. Buat julung kali The Mod Musical: Shout! berjaya dibawa ke Malaysia oleh Akademi Broadaway Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

The Mod Musical: Shout! merupakan sebuah persembahan teater terkenal di Amerika Syarikat dan Eropah kini berlangsung di pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Sentul Park sejak 15 hingga 21 Julai ini sempena Festival Kuala Lumpur 2010.

Teater muzikal ala 60-an ini dibintangi oleh bintang popular Malaysia Ning Baizura sebagai watak utama (The Orange Girl) Tria Aziz (The Green Girl) Shanel Shanty (The Red Girl), Tisha Zarina (The Blue Girl) dan Nikki Palikat (The Yellow Girl).

Selain itu, watak pembantu didukung oleh Joanna Bessey , Stephanie Van Driesen dan Chalsia Ng.

Menurut Penolong Pengarah JKKN, Mod Zaky, jalan cerita Shout melambangkan wanita era 60-an yang berkerjaya dan inginkan kemajuan serta menempuhi pelbagai dugaan.

"Program ini adalah salah satu jalan utama bagi artis tempatan untuk menonjolkan bakat mereka serta menghiburkan peminat era 60-an.

"Teater muzikal digandingkan sebagai inspirasi gaya hidup muzikal bagi wanita dan lambang didik anak-anak muda juang karya sensasi teater muzikal," katanya semasa sidang akhbar.

Sementara itu, Ning yang berpeluang membawa watak The Orange Girl dalam teater muzikal itu tidak percaya diberi kepercayaan untuk menjayakan teater tersebut.

"Saya sangat teruja dengan kesempatan ini dan kembali kepada zaman 60-an sebagai wanita sekali gus isteri, adalah hal yang menyeronokkan," kata Ning yang semakin kelihatan gelap akibat aktif bersukan.

Tambah Ning, teater tersebut menjadi lebih bernyawa kerana setiap lagu yang dipersembahkan dalam teater ini memberikan situasi dan pergolakan yang sedikit sebanyak melibatkan emosinya.

Sebanyak 24 buah lagu akan didendangkan serta setiap penyanyi diberi peluang menyanyikan lagu solo.

Bagi penyanyi popular Kadazan Dusun kelahiran Sabah, Nikki Palikat yang kini sedang hamil empat bulan berkata, dia tidak mengetahui bahawa dia akan bekerjasama dengan Ning.

"Saya memberitahu pengurus untuk membuat sedikit perubahan dalam karier saya tetapi tak tahu pula saya dihantar ke uji bakat teater muzikal," katanya.

Katanya lagi penuh optimis: "Tawaran ini mencabar saya kerana pergerakkan yang lasak. Namun saya tidak akan berundur hanya kerana saya hamil dan penat kerana ini profesional saya."

nnn Sebarang maklumat boleh layari laman sesawang www.klfestival.org.my atau www.jkkn.gov.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: