SESUDAH jongang, pelakon berbakat Sheera Iskandar akan bertukar menjadi seorang pengkid pula. Sama ada imej pengkid itu akan menenggelamkan watak jongang yang cukup sinonim dengannya, semua itu akan terjawab dalam filem terbarunya, Aku Bukan Tomboy.
Bercakap kepada Rap, baru-baru ini, Sheera menjelaskan, dia memang tidak sabar-sabar untuk berlakon sebagai pengkid dan juga gadis liar kerana kedua-dua watak itu sangat berbeza dengan karakter sebenarnya.
"Sepatutnya saya kena berlakon filem Aku Bukan Tomboy lebih dulu tapi ia ditangguhkan buat seketika bagi memberi laluan kepada KL Gangster. KL Gangster juga dibintangi Aaron Aziz dan Syamsul Yusof. Saya berlakon sebagai gadis liar bernama Zati iaitu adik Aaron. Untuk hayati watak itu, saya terpaksa buat rujukan dari pelbagai sumber tambahan.
"Filem Aku Bukan Tomboy pula akan memulakan penggambaran awal Ogos nanti iaitu selepas habis penggambaran musim baru Halimah Jongang dan filem KL Gangster. Penggambaran drama dan filem ini berjalan serentak, tapi saya sudah aturkan jadual dengan sebaiknya agar tidak bertembung. Aku Bukan Tomboy akan turut dilakonkan Scha Al Yahya.
"Dalam Aku Bukan Tomboy, saya dan Scha kena jadi pengkid. Rambut saya juga kena jadi pendek. Walaupun ada pilihan memakai rambut palsu, saya tidak berapa suka sebab nanti nampak tak 'natural'," katanya.Dibesarkan dalam keluarga seni, itu tidak bermakna ia laluan mudah bagi Sheera atau nama sebenarnya, Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar untuk menjadi seorang pelakon.
Menceburi bidang seni sejak usia remaja, anak pelakon Aznah Hamid ini akui sukar untuk bersaing sebaris pelakon wanita lain.
Hakikat ini diterima dengan hati terbuka oleh gadis yang mengakui pernah mempunyai perasaan malu begitu tebal itu. Namun rasa segan Sheera terlerai dengan kemunculannya dalam Halimah Jongang.
"Tak dinafikan populariti Halimah Jongang begitu kuat sehinggakan budak-budak kecil pun ramai panggil nama saya dengan gelaran itu. Ternyata mereka suka dengan watak itu dan akui terhibur.
"Namun untuk musim baru akan datang, banyak kelainan yang akan ditampilkan terutamanya karakter Halimah yang sangat berbeza daripada dulu.
"Gandingan saya kali ini pun berubah apabila Ako Mustapha dipilih bawa watak Ali bagi menggantikan tempat Pierre Andre. Kami pernah berlakon sebagai suami isteri dalam cerita telenovela Usia ketika saya berusia belasan tahun dulu. Tiada masalah langsung untuk kami berlakon bersama. Saya tak kisah untuk berlakon dengan siapa pun yang bawa watak itu.
"Saya bersyukur kerana karakter ini bawa rezeki kepada saya. Malah saya anggap Halimah Jongang bagaikan satu topeng yang bawa saya ke depan kerana dulu saya agak rendah diri dan pemalu. Apabila saya berani bawakan watak berbeza dan dipandang lain oleh peminat, maka terbit keyakinan yang saya sebenarnya boleh diterima," katanya.
Mungkin ada beranggapan populariti drama ini memberi kelebihan buat Sheera terutamanya mengenai nilai lakonannya yang semakin meningkat. Bagaimanapun dia secara tegas menafikan suka meminta harga lebih daripada produser kerana matlamatnya mahu berada lama dalam industri seni.
"Sebenarnya urusan karier saya Mama (Aznah) yang uruskan. Saya tak nak ambil tahu langsung mengenai hal duit. Biarlah Mama yang buat semuanya kerana dia dah lama dalam industri. Kalau saya meminta lebih sangat pun tak boleh kerana sebagai produser A Aida berhak buat keputusan. Bila-bila masa dia boleh ambil orang lain gantikan saya kerana Halimah Jongang bukan mewakili individu, tapi watak lakonan," katanya.
Berbicara mengenai jodoh, gadis berusia 25 tahun ini sudah lama berkawan dengan seorang jejaka dan bergurau mahu cepat berkahwin. Namun tidak boleh berbuat apa-apa jika tiada orang yang meminangnya.
"Buat masa ini kekasih saya masih belajar dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Uniten, Selangor. Selepas ini dia akan sambung lagi pelajarannya. Jadi biarlah dia selesaikan pengajiannya dulu. Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami memang baik kerana dia seorang yang memahami minat saya dan 'sporting'.
"Kalau ada masa lapang, dia juga akan temankan saya ke lokasi penggambaran. Dia banyak bantu keluarga saya kerana kebetulan dalam keluarga saya tidak ada anggota keluarga lelaki," kata Sheera.
PROFIL
NAMA PENUH: Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar
NAMA KOMERSIAL: Sheera Iskandar
BILANGAN DALAM KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik
TARIKH LAHIR: 18 April 1985
TEMPAT LAHIR: Kelantan
KERJAYA: Pelakon
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan dari Yayasan Pelajaran Mara
DRAMA: Janji Diana, Bintang Di Hati Bintang Di Langit, Mengejar Awan, Jangan Ada Dusta, Pinggiran Hati, Janjiku dan Telenovela Usia, Fatimah Najwa, Halimah Jongang, Siong.
FILEM: Bicara Hati, KL Menjerit 1, Sembilu 2005, Cinta Yang Satu
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: