|
|
SEBUT saja Sewing House, nama itu tidak asing lagi kerana kepakaran dalam jahitan pakaian.
Memulakan perniagaan jahitan sejak tiga tahun lepas menjadikan Sewing House ini sebagai tukang jahit Melayu pertama di sekitar kawasan Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan sektor korporat, jabatan dan agensi kerajaan menjadikan Sewing House sebagai 'panel' mereka.
''Di sini kami menerima pelbagai tempahan bukan sekadar khusus untuk wanita tetapi juga pakaian bagi kaum lelaki.
"Malah pakaian kanak-kanak turut di terima,'' ujar Emyza Roslan yang dipertanggungjawab sebagai pengurus di Sewing House yang terletak di Dataran Sunway, Kota damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Bertindak sebagai pengurus di kedai jahit milik bumiputera membuatkan dirinya berbangga dapat membantu anak bangga sendiri.
''Biarpun bidang ini tidak seperti bidang lain yang kelihatan gah namun sebenarnya bidang ini berterusan sepanjang masa,'' ujarnya yang pernah mendapat latihan dalam bidang jahitan di Singapura.
Berkhidmat sejak mula ditubuhkan membuatkan dia dipertanggungjawab untuk menyelia kedai jahit berkenaan.
Katanya, selain menerima tempahan baju kurung dan baju Melayu, Sewing House turut menerima baju seragam sebagai tempahan.
''Terbaru kami sedang menyiapkan uniform jurumasak di sebuah hotel yang ditempah khas dari Johor.
''Sudah menjadi rutin saya, setiap hari saya membuka kedai ini, malah hanya sesekali bos akan memantau perkembangan kedai ini,'' ujarnya yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang jahitan.
Katanya lagi, di Sewing House, bukan sekadar menerima tempahan tetapi turut menyediakan pakaian yang telah siap.
''Kepakaran kami ialah baju kurung, jubah pakaian sut dan juga pakaian untuk lelaki seperti baju Melayu,'' kata Emyza lagi.
Katanya lagi, setiap pasang baju yang ditempah bermula dengan RM60 sepasang.
Emyza memberitahu, antara prinsip yang menjadi keutamaannya ialah kekemasan jahitan pakaian dan ketepatan masa yang sentiasa dipatuhi di samping melayani kepuasan hati para pelanggan.
''Ini semua dapat dilakukan kerana saya mengamalkan pengkhususan di kalangan pekerja", ujarnya yang turut bertindak sebagai tenaga pengajar di Sewing House.
Menurutnya, waktu yang paling mencabar adalah apabila menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya kerana lazimnya mereka menerima tempahan kira-kira 500 pasang baju yang mesti disiapkan sebelum ketibaan 1 Syawal.
Katanya lagi, biasanya empat bulan sebelum bulan Ramadan dia telah menutup untuk tempahan.
''Ini semua bagi memastikan baju yang ditempah dapat disiapkan dalam tempoh yang di berikan, lagipun kami memang menjaga kualiti setiap jahitan yang diterima,'' ujarnya dengan tegas.
Berkongsi pengalaman
Kini selepas 15 tahun bergelumang dalam dunia jahitan segala pengalaman dicurahkan pula kepada anak-anak didiknya di Sewing House.
Tidak mahu pelajarnya ketinggalan, dia sanggup memberikan kelas intensif dan mengajar secara individu.
''Tidak salah berkongsi rahsia, lagipun bukan kepada orang lain kepada anak-anak bangsa sendiri,'' ujarnya.
Katanya lagi, menjahit pakaian memerlukan tahap kesabaran dan kreativiti yang tinggi, sebab itu bagi mengelak pelajar ketinggalan dia sanggup mengajar dalam bilangan yang sedikit.
Ditanya perancangan masa depan, Emyza memberitahu, biarpun bekerja dengan majikan namun seluruh pengorbanan yang dicurahkan adalah ikhlas.
orang lelaki boleh belajar jahit sepasang baju melayu ?
ReplyDelete