Sunday, June 27, 2010

Selera dua negeri di Wau Penyu


AFIZAF Ariff (kiri) bersama Alwi Kamaruddin di hadapan kedai mereka.


KOMBINASI hidangan dari Kelantan dan Terengganu menjadi menu utama Restoran Wau Penyu yang terletak di Solaris Dutamas berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Premis yang menghimpunkan pelbagai makanan popular Pantai Timur itu sememangnya menunggu untuk santapan warga kota.

Tidak perlu menunggu hujung minggu atau berkunjung ke negeri berkenaan untuk menikmati hidangan wajib seperti nasi dagang atau nasi kerabu yang enak kerana segala-galanya ada di Wau Penyu.

Bahan utama seperti keropok atau budu dibawa terus dari kedua-dua negeri itu. Semestinya dengan cara itu keaslian hidangan dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan Penyu Bertelur dapat dipelihara.

Sememangnya menarik apabila berpeluang bertemu pemilik restoran, Alwi Kamaruddin. Pemuda yang berasal dari Terengganu itu memberi nilai yang tinggi terhadap Wau Penyu kerana ia simbolik kepada ‘kerjasama’ bersama tunangnya, Afifah Ariff yang merupakan anak jati Kelantan.

‘‘Kami menggabungkan masakan tradisi negeri kelahiran masing- masing. Di sini anda boleh menikmati asam laksa, laksam, murtabak diraja, nasi dagang istana yang rasanya seperti masakan ibu. Sajian yang mempersona itu pasti membuka selera para pelanggan,’’ katanya.

Alwi amat mementingkan kesegaran bahan yang digunakan. Mutu setiap menu akan diperiksa sebelum dihidangkan kepada pelanggan demi memastikan rasa dan persembahan mencapai piawaian yang ditetapkan.

Untuk sarapan pagi, Wau Penyu menyediakan nasi dagang bungkus, mee goreng bungkus, ayam goreng bungkus dan bufet nasi lemak. Hidangan ala carte mengambil tempat seawal pukul 11.30 pagi untuk pelanggan yang mahu menikmati menu tengah hari.

Wau Penyu turut memperkenalkan promosi menu ‘Skali Skalo’ yang bertukar setiap hari. Nasi Ayam Wau Penyu pada hari Isnin, singgang, sambal petai udang, belacan, keropok (Selasa), Nasi Dagang Wau Bulan (Rabu), Nasi Minyak (Khamis), bufet nasi Pantai Timur (Jumaat), ketupat pulut nyior (Sabtu) dan nasi tumpang (Ahad).

Apa yang menarik perhatian pengunjung, seawal langkah memasuki pintu restoran itu jelas ciri-ciri tradisional. Kebanyakan hiasan terdiri daripada barangan antik berusia lebih 100 tahun.

Kelebihan itu menarik pelanggan untuk kembali semula menikmati sajian pada masa akan datang. Segala maklumat berkaitan Wau Penyu boleh didapati dengan melayari laman web www.waupenyu.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: