Saturday, June 12, 2010

'SAC II Teo' dicekup


MOKHTAR (tiga dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Mungkin kerana cita-cita yang tidak kesampaian, seorang lelaki sanggup menempah pakaian seragam polis lengkap dengan pangkat Senior Asisten Komisioner II serta membeli beberapa aksesori yang biasa digunakan oleh pegawai polis lain.

Bagaimanapun, cita-cita pelik lelaki berusia 46 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan di Jalan Rotan Batu, Taman Sri Jaya, Batu Pahat di sini pada pukul 5 petang Rabu lalu.

Suspek yang dikenali sebagai Teo itu turut memiliki kad kuasa polis palsu yang mempunyai nombor yang hampir sama dengan Timbalan Ketua Polis Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek ditahan bersama dua yang lain termasuk seorang adik perempuannya di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan X-Trail.

"Pemeriksaan dalam kenderaan itu, menjumpai satu logo polis, baton besi dan pelekat kereta berlambang polis," kata beliau di sini semalam.

Susulan penahanan itu, menurut beliau, polis menyerbu rumah suspek dan menemui gambar-gambar suspek memakai pakaian seragam polis, uniform polis dan satu set walkie-talkie.

"Malah gambar suspek yang lengkap beruniform polis digantung di ruang tamu rumah.

"Di rumah itu kita menemui beberapa peralatan polis lain seperti lampu siren dan gari," kata beliau.

Katanya, siasatan mendapati suspek yang bekerja sendiri dan telah berkahwin itu mendakwa dia baru mengumpul barangan tersebut yang didakwa sebagai hobinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: