Sunday, June 27, 2010

Romantika di Bali



Bercuti bersama insan tersayang tentunya memberi 1001 makna apatah lagi jika dapat meluangkan masa bersama tanpa gangguan kesibukan kota dan juga bebanan tugasan yang tidak putus-putus datang bertimpa.

Bagi penyampai radio Suria FM, Zaf atau Zafrina Abd. Rahman, 29, peluang keemasan bercuti bersama suami tercinta, Suffian Harris Mustapa dimanfaatkan sepenuhnya selama empat hari di Bali, Indonesia pada April lalu.

Cerita Zaf, kunjungan ke Bali bersama suaminya yang lebih dikenali sebagai Opie adalah kali kedua buat mereka setelah kunjungan kali pertama ke Bali pada Januari lalu bersama 10 ahli keluarganya.

Pengalaman percutian yang menyeronokkan menyebabkan Zaf begitu teruja untuk kembali ke pulau yang sarat dengan unsur ketenangan serta romantis kira-kira tiga bulan kemudian.

”Sebenarnya percutian saya ke Bali pada April lalu bersama suami memang sudah dirancang semenjak pertengahan tahun lalu, bagaimana pun kunjungan bersama keluarga pada Januari dirancang pada saat-saat akhir.

”Saya gembira kerana berpeluang ke Bali sebanyak dua kali dalam masa singkat sebab sebelum ini hanya dengar cerita orang sahaja tetapi akhirnya saya dapat juga merasai sendiri percutian yang manis itu bersama keluarga dan kemudian bersama insan yang saya cintai, baru saya faham erti keindahan Bali,” katanya kepada Sinar Harian.

Zaf berkata, perkara yang melucukan semasa bercuti bersama suaminya, mereka melakukan aktiviti yang tidak pernah dilakukan semasa berada di Malaysia tanpa menyedari dirinya sedang hamil dua bulan.

”Di Malaysia kami tidak pernah menaiki motosikal bersama, bagaimana pun semasa di Bali Zaf dan suami menyewa sebuah motosikal dan kami menaiki motor bersama dari tempat penginapan di Legian sehingga ke Kuta dan Nusadua yang jaraknya lebih kurang 45 minit.

”Semasa itu saya masih belum mengetahui diri saya sedang hamil anak sulung kami, cuma bila sudah lama menaiki motor badan saya mula sakit-sakit, ingatkan kerana tidak biasa naik motor rupanya kerana saya sedang berbadan dua,” katanya ceria.

Zaf berkata, mengapa dia dan suami memilih Bali sebagai destinasi percutian adalah disebabkan mereka amat menyukai pantai dan laut.

”Zaf dan suami sangat sukakan pantai dan laut apatah lagi suami Zaf suka bermain papan luncur air, ketika berkunjung pada kali pertama dengan kelaurga kami lebih banyak melawat tempat-tempat di sekitar Bali namun percutian kali kedua ini kami manfaatkan sepenuhnya melepak di tepi pantai dan bermain air,” katanya yang mengetahui tentang kehamilannya setelah pulang dari Bali setelah merasa tidak sedap badan.

”Tidak lama selepas pulang dari Bali, Zaf rasa tidak beberapa sihat kemudian Zaf tergerak hati untuk buat ujian kehamilan, bila positif Zaf terus ajak suami ke klinik dan bila doktor sahkan Zaf sudah hamil tiga bulan ketika itu, Zaf dan suami terus ketawa mengenangkan aktiviti yang kami buat di Bali,” katanya yang masih ingin untuk berkunjung ke destinasi romantik itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: