SUBANG JAYA: Jumlah maksimum bagi pemenang judi mesin ‘jackpot’ adalah RM150,000 dan boleh dituntut selepas 72 jam selepas tarikh kemenangan. Itu antara tarikan sebuah premis mesin judi jackpot haram di sini, bagi menjerat tahi judi mengunjungi premis mereka.
SITA...penguat kuasa menyita komputer di premis judi terbabit.
Semalam, premis terbabit antara 10 kedai sekitar bandar itu yang diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Subang Jaya.
Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali, berkata dalam operasi bermula jam 11 pagi semalam sebelum berakhir kira-kira empat jam kemudian itu, semua bekalan elektrik premis judi terbabit dipotong dengan bantuan empat kakitangan TNB.
“Tahi judi siber tidak serik-serik membiarkan diri mereka terpedaya pelbagai taktik tauke judi termasuk tawaran kemenangan ratusan ribu. Tauke judi berterusan mengaut untung dan tahi judi melopong kerugian.
“Padahal setakat yang dimaklumkan, tiada seorang pun yang pernah memenangi wang hadiah kononnya ratusan ribu ringgit itu. Justeru, sebagai usaha membanteras judi haram dalam talian terbabit, MPSJ bekerjasama dengan TNB memotong bekalan elektrik supaya premis mereka lumpuh.
“Bagaimanapun, kami dapati ada premis yang diserbu tadi (semalam) dan sudah dipotong bekalan elektrik, tetapi masih berdegil meneruskan operasi apabila menggunakan penyambungan haram,” katanya.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha premis judi siber dengan melakukan penyambungan haram boleh membahayakan seluruh bangunan blok yang berkongsi dengan premis terbabit andainya berlaku litar pintas.
Mengenai operasi bersepadu semalam itu, Mohd Zulkurnain berkata, seramai 20 anggota terbabit manakala lima pegawai polis dan empat kakitangan TNB membantu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: