Saturday, June 19, 2010

Rezeki Nur Kasih Fizz Fairuz


Restoran Nur Kasih


NAMANYA yang semakin melonjak naik dan dikenali ramai menerusi drama Nur Kasih menyebabkan rezekinya melimpah ruah selepas drama itu selesai ditayangkan di kaca televisyen.

Bagaimanapun, selepas selesai drama itu ditayangkan, kini Fizz sibuk menjalani penggambaran untuk filem Nur Kasih. Dalam masa yang sama, pelakon ini juga sedang mengembangkan sayap sebagai ahli perniagaan dengan membuka sebuah restoran di kampungnya, Ketari, Bentong, Pahang.

Menariknya, restoran tersebut yang baru sahaja memulakan operasinya sekitar beberapa bulan lalu itu diberi nama Restoran Nur Kasih. Bertanya kepada pelakon ini mengapa restoran tersebut dinamakan dengan judul drama lakonannya itu dan seperti menumpang populariti, nyata Fizz mempunyai jawapan sendiri.

Jawab Fizz: "Saya dikenali ramai oleh peminat-peminat menerusi drama Nur Kasih. Maka dengan itu saya rasa tidak salah untuk menggunakan nama drama tersebut sebagai nama restoran saya. Lagipun ia untuk memudahkan pengunjung atau peminat tahu bahawa itu adalah restoran saya."

Menyediakan menu masakan kampung seperti ikan sungai masak tempoyak, tempoyak ikan pari dan menu istimewa nasi goreng nur kasih serta masakan gulai asrom Pahang, kata Fizz penuh teruja, dia berharap agar pengunjung berpuas hati dengan menu yang disediakan.

Sementelah, sebagai anak jati Pahang, dia percaya, masakan gulai asrom Pahang akan menjadi daya tarikan buat pengunjung kerana ia memang merupakan masakan yang cukup terkenal di negeri tersebut.

Mengakui tidak kerap berada di restoran tersebut kerana kesibukannya di lokasi, dia bagaimanapun percaya abang iparnya, Ahmad Fanizan Mussa mampu menguruskan restoran tersebut dengan baik.


MEMOTONG riben sebagai simbolik perasmian restoran yang diberi nama Restoran Nur Kasih.


"Tapi jika tidak mempunyai penggambaran, sebolehnya saya mahu berada di restoran. Maklumlah itu restoran pertama, jadi teruja untuk melihat perkembangannya," kata Fizz yang memasang impian untuk membuka cawangan lain di Kuala Lumpur dan Melaka jika mempunyai modal yang lebih besar kelak.

Sementara itu bercakap tentang perkembangan terbarunya, Fizz memberitahu dia bersama teman pemain drama Nur Kasih yang lain seperti Tiz Zaqyah dan Remy Ishak kini sibuk di lokasipenggambaran filem Nur Kasih yang baru bermula minggu lalu.

Dalam masa yang sama, dia juga terbabit dengan sebuah telemovie bersama Rosyam Nor berjudul Bicara Dari Tuhan yang dijadualkan ditayangkan pada Aidilfitri tahun ini.

Biar kini mempunyai dua tanggungjawab untuk diuruskan serentak, Fizz optimis dia mampu mengimbangi antara dunia bisnes dan dunia lakonan dengan baik. Ini kerana menurut Fizz dia yakin terhadap dua bidang yang dijalani kini kerana kedua-duanya bakal membawa kebaikan kepada masa depannya nanti.

"Saya berharap kedua-dua bidang yang saya jalankan ini akan memberi lebih banyak rezeki pada masa akan datang. Saya juga berharap dapat mengimbangi kedua-duanya kerana ia sangat penting untuk saya meneruskan perjalanan hidup," kata buah hati pelakon Almy Nadia ini penuh harapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: