Saturday, June 19, 2010

Sarah, antara famili dan kerjaya


SARAH bersama keluarganya dan anak kembar hasil ibu tumpang, Marion Loretta Elwell dan Tabitha Hodge.


"PERKARA pertama yang terlintas dalam pemikiran saya adalah takut mereka tidak akan suka pada saya," kata Sarah Jessica Parker. Namun, aktres itu bukan berbicara mengenai filem terbarunya, Sex And The City 2 (SATC).

Apa yang membikin penasaran jiwanya adalah sama ada anak kembarnya, Marion Loretta Elwell dan Tabitha Hodge akan menyukainya. Dilahirkan pada 22 Jun menerusi ibu tumpang, nama Marion diberikan oleh anak sulung Sarah, James Wilkie Broderick, 7.

"Dia memberitahu saya bahawa dia mahukan nama Marion. Adakah ia satu tindakan wajar untuk membiarkan James memberi nama kepada adiknya? Adakah ia begitu penting bagi James? Tapi James memberitahu dia mahu nama itu sebagai nama sah di sisi undang-undang. Nama samaran Marion ialah Kitty dan Tabitha pula Babe," kata Sarah ketawa sambil memberitahu yang dia menyukai bau lampin.

Keputusan untuk menggunakan ibu tumpang dibuat bukan kerana Sarah mahu mengekalkan bentuk badannya. Dia suka mengandung. "Saya tahu ramai yang menyatakan terdapat banyak pilihan di luar sana. Mengapa tidak mengambil anak angkat? Kami meneroka dan meneroka banyak pilihan dan idea ini datang dahulu," jelas Sarah.

Selepas sekian lama memberi fokus kepada anak lelakinya, Sarah takut dirinya tidak bersedia untuk membesarkan anak perempuan. Walaupun dia di layar perak Sarah membawa pesona penulis kolum popular, Carrie Bradshaw yang glamor serta bersifat kewanitaan, aktres itu tidak yakin.

Tahap keyakinan Sarah juga melanda proses lakonannya. Setiap kali sebelum dia memulakan penggambaran, Sarah dihantui keraguan. "Chris Noth (Mr.Big) selalu bertanya kepada saya, adakah saya suka berlakon," tambah Sarah yang merupakan isteri kepada aktor Matthew Broderick.

Sarah pada mulanya merupakan penghibur tradisional yang boleh menyanyi dan menari. Aktif di atas pentas pementasan, dia hanya popular di TV selepas dipilih sebagai peneraju utama siri SATC pada tahun 1997. Kini pada usia 45 tahun, skop karier Sarah tidak tertakluk pada lakonan sahaja.

Empayar


SELEPAS berkahwin, Carrie dan Mr.Big mempunyai masalah menyesuaikan diri bersama.


Selain jenama minyak wangi, Lovely (2005), Sarah juga menyumbang kreativitinya dalam mereka cipta aksesori, Bitten. Namun, kekayaan Sarah jelas diperoleh daripada rangkaian SATC. Filem pertamanya menjana AS$400 juta dan ditambah dengan jualan cakera padat digital (DVD) sirinya, dia kini menjadi antara aktres berpengaruh.

Sebab mengapa Sarah berhenti menjayakan watak Carrie pada tahun 2004 adalah kerana dia terlalu menyukai peranan tersebut. "Saya boleh menjayakan watak itu seumur hidup tetapi itu bukan sebab mengapa saya menjadi pelakon. Saya mahu bekerjasama dengan lebih ramai orang supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan nilai diri," tambahnya.

Versi layar perak SATC memang sentiasa dalam perancangan tetapi ia telah mengambil masa lebih panjang daripada jangkaan kerana permintaan bayaran Kim Cattrall. Terdapat juga khabar angin yang menyatakan ia disebabkan ketidaksefahaman antara Kim dan pelakon lain.

"Saya tidak rasa ada orang yang percaya bahawa saya menyukai Kim. Saya tidak akan berjaya dalam siri dan filem SATC tanpanya. Malah, saya tidak akan berlakon dalam versi filemnya tanpa Kim," ujar Sarah dalam nada kecewa.

Jangkaan untuk sekuel SATC amat tinggi. Kali ini, pengarahnya, Michael Patrick King mahu memberikan kelainan. Buat pertama kali, krew SATC menjalankan penggambaran di luar negara, apabila keempat-empat watak utama, Carrie Bradshaw, Samantha Jones (Kim), Charlotte York Goldenblatt (Kristin Davis) dan Miranda Hobbes (Cynthia Nixon) bercuti di Abu Dhabi.

Penggambaran bagaimanapun dijalankan di Moroco. Berbeza dengan pengalaman di New York, Sarah memberitahu: "Kami berada di tengah-tengah gurun Sahara dan yang menariknya, tanpa paparazzi. Ia satu pengalaman yang menakjubkan untuk berada di satu tempat jauh.

"Untuk berada di gurun selama beberapa hari, kami berpeluang menyaksikan magis yang mungkin tidak akan dilihat lagi. Menghidu, melihat dan menikmati makanan di sana merupakan pengalaman yang tidak boleh didapati di tempat lain."


SEX And The City 2 menjanjikan sebuah kisah cinta disulami fesyen yang lebih menarik.


Apa yang membuatkan pengalaman itu lebih bermakna adalah ia disertai oleh rakan-rakan baiknya. "Hati kami tersentuh. Kami berpeluang untuk tinggal bersama dan mengenali satu sama lain, hal yang tidak pernah dilakukan semasa berada di New York.

"Di New York, selepas penggambaran, kami akan pulang ke rumah masing-masing. Kini, saya lebih menyayangi mereka kerana dapat melihat sisi baru mereka. Mereka sudah menjadi sebahagian daripada keperluan hidup saya."

Mengakui penggambaran kali ini lebih mencabar, Sarah menyatakan SATC merupakan sebuah karya unik bagi budaya masa kini. Ditambah dengan kelainan personaliti serta wataknya, tidak hairan SATC menjadi kegilaan dan ikutan ramai.

"Saya suka apabila wanita saling menghormati. Apa yang lebih mengujakan adalah nilai persahabatan. Filem ini telah mengubah cara saya melihat persahabatan dan menghargai kawan-kawan saya," tambahnya.

Menjadi ibu kepada tiga orang anak telah mengubah pemikirannya terhadap karier. Dia tidak akan dilihat menerusi teater pada masa akan datang kerana melibatkan masa yang panjang.

"Masa saya kini didedikasikan kepada anak-anak saya. James telah merapatkan hubungan keluarga kami dan saya tidak sabar membesar dengan kembar baru saya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: