Thursday, June 3, 2010

Remy kini Arjuna


GANDINGAN pertama kali Remy Ishak dan Nora Danish dalam drama berunsur kepahlawanan, Arjuna.


DIA meraih gelaran Hero Melayu selepas membintangi drama yang mencetuskan fenomena luar biasa, Nur Kasih. Sejak itu, peminat-peminat menyapanya sebagai Adam, nama watak Nur Kasih, sehinggakan mereka lupa bahawa nama sebenarnya adalah Remy Ishak.

Bagaimanapun, kini, pelakon idola ramai itu mahu membuang nama Adam yang sinonim dengan dirinya sebelum ini dan digantikan dengan nama Arjuna - watak utama drama aksi berjudul Arjuna, terbitan KRU Studios.

Beritahu Remy, dia cukup gembira jika peminat-peminatnya mula memanggilnya dengan panggilan Arjuna kerana merasakan lakonannya berjaya mengalihkan pandangan penonton kepada drama lain pula.

"Jika orang mula panggil saya Arjuna, kiranya lakonan saya berkesan. Saya harap sangat agar saya dapat tukar suis Adam kepada Arjuna. Bagi saya, drama ini adalah sebuah drama epik yang benar-benar mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon. Lagipun, drama berunsurkan epik aksi ini adalah drama yang pernah saya impikan sebelum ini.

"Jalan ceritanya seakan-akan kisah komik tentang pahlawan, berbeza dengan pelbagai watak romantik yang sering saya lakonkan sebelum ini. Berlakon drama ini boleh diibaratkan seperti masuk ke alam silam," tuturnya yang pernah mempelajari silat ketika zaman kanak-kanak.

Drama ini mengisahkan mengenai seorang pemuda bernama Arjuna yang mahu menuntut bela di atas kematian keluarganya dan mahu mencari semula pedang sakti Citra Dewata. Dalam satu insiden, Arjuna secara tidak sengaja menggunakan kuasanya di hadapan orang kampung dan insiden itu membuatkan Pendita Dzulkarnain dan Grakus menghantar pengikut masing-masing untuk mendapatkan Arjuna.

Barisan pelakon Arjuna diperkuatkan oleh Nora Danish, Aman Graseka, Riz Ainuddin, Dira Abu Zahar dan Fikri Bakar.

Bercerita pula pengalaman Remy pertama kali berlakon dengan Nora Danish, jejaka itu mengakui agak selesa bekerjasama dengan Nora.


ARJUNA kini sudah menemui penonton sejak 31 Mei lalu.


"Setakat ini kami tidak mempunyai masalah sepanjang penggambaran bersama. Masing-masing memberikan yang terbaik. Nanti jangan fikir pula yang saya ada apa-apa perasaan dengan dia," selorohnya.

Di kaca televisyen, pasti ramai yang akan kagum dengan kebolehan Remy bersilat. Tambah pula dengan efek yang menampakkan kuasa hebat watak Arjuna membuatkan orang kagum dengannya.

Bagaimanapun, menjadi Arjuna bukannya mudah. Remy terpaksa menahan rasa sakit badan dan perubahan ketara yang dilihat pada Remy adalah wajahnya yang semakin gelap. Malah, katanya, setiap aksi yang silat dilakukannya sendiri tanpa bantuan aksi pelagak ngeri.

"Bayangkan, dua jam sebelum masuk set, kami dikehendaki untuk berlatih dan saya mempunyai 80 babak untuk adegan lawan. Setiap adegan itu saya lakukan sendiri kerana ini membuatkan saya berasa puas dengan hasil kerja lakonan saya walaupun ia agak sukar untuk dilaksanakan. Kalau di kawasan itu mempunyai lubang atau parit, saya terpaksa beraksi seperti biasa. Banyak kali juga saya jatuh. Habis lebam sana sini," ujarnya.

Sementara itu, penerbitnya, Norman Abdul Halim pula berkata, dengan penggunaan bajet yang agak besar, pihaknya mahu meningkatkan cara penghasilan sesebuah drama yang berkualiti tinggi. Drama arahan Helmi Khalim itu telah menemui penonton di layar kaca bermula 31 Mei lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: