Thursday, June 3, 2010

Ratusan penduduk lintasi sempadan


BEBERAPA penduduk Palestin melintasi sempadan Gaza dengan Mesir di selatan Genting Gaza semalam.


RAFAH, Mesir – Sekitar 600 penduduk Palestin melintasi sempadan Rafah di selatan Genting Gaza setelah Mesir mengumumkan ia membuka pintu sempadan tersebut bagi tujuan kemanusiaan, kata seorang pegawai.

Langkah mengejutkan yang dibuat Presiden Mesir, Hosni Mubarak dengan mengarahkan pembukaan pintu sempadan itu diumumkan selepas serangan berdarah tentera Israel terhadap armada kecil yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan menyebabkan sembilan orang terbunuh pada Isnin lalu.

Pegawai berkenaan berkata, sekitar 400 penduduk Palestin melintasi sempadan Rafah untuk ke Mesir manakala kira-kira 200 lagi memasuki wilayah Genting Gaza.

Menurutnya, lebih 800 warga Palestin dijangka melintasi pos sempadan itu di antara pukul 9 pagi dan 7 petang (waktu tempatan) pada setiap hari.

Hosni bagaimanapun tidak menetapkan berapa lama lintasan sempadan tersebut akan dibuka.

Golongan yang dibenarkan melintasi pintu sempadan itu merupakan pesakit yang memerlukan rawatan di luar negara atau pelajar yang memiliki visa untuk belajar di seberang laut negara atau mereka yang perlu meninggalkan Genting Gaza kerana sebab kemanusiaan.

Pihak berkuasa Mesir turut membenarkan kemasukan empat generator elektrik ke Genting Gaza, kata pegawai sama.

Sebanyak sembilan lagi generator dan bantuan dari Rusia, Jordan dan Bulan Sabit Merah Mesir termasuk pakaian, khemah, tilam serta penyaman udara dibawa masuk ke Gaza semalam.

Sempadan Rafah merupakan satu-satunya lintasan yang tidak menyeberangi Israel.

Pihak berkuasa Mesir sebelum ini menutup lintasan Rafah dan hanya membukanya bagi tujuan kemanusiaan selama dua hari pada setiap minggu.

Mesir dikritik hebat oleh masyarakat rantau Arab kerana menutup sempadannya dan membina dinding bawah tanah dalam usaha negara itu untuk mengekang aktiviti penyeludupan.

Mesir menganggap aktiviti bawah tanah itu menjejaskan keselamatan negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: