Saturday, June 19, 2010

PM Britain, Presiden Perancis sempat bincang pasal bola


GAMBAR menunjukkan David Cameron dan isterinya (kiri) berbual dengan Nicolas Sarkozy dan isterinya di Pejabat Perdana Menteri Britain di Downing Street, England semalam.


LONDON - Nasib England dalam Piala Dunia 2010 dan kekecewaan Perancis yang tewas 0-2 kepada Mexico turut menjadi topik perbualan ketika pertemuan singkat antara pemimpin Britain dan Perancis di sini semalam.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan isterinya, Carla Bruni menghadiri makan tengah hari bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron dan isterinya, Samantha di pejabat pemimpin tersebut di Downing Street yang membincangkan isu perang Afghanistan dan sidang Kumpulan 20.

Menurut seorang jurucakap Perdana Menteri Britain, dalam perbincangan itu, mereka masih sempat mencuri masa dengan membincangkan perkembangan pasukan masing-masing dalam saingan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan ketika ini.

"Mereka mempunyai peluang bertukar-tukar pandangan mengenai skuad bola sepak masing-masing," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai komen Sarkozy ekoran persembahan buruk pasukan negaranya ketika menentang Mexico awal pagi semalam.

Pada perlawanan itu, Perancis yang merupakan bekas juara dunia pada 1998 kalah kepada Mexico 2-0.

Sarkozy berada di sini sempena majlis memperingati ulang tahun ke-70 bekas pemimpin tentera Perancis, Charles de Gaulle membuat ucapan menerusi stesen radio Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang meminta anggota-anggota tenteranya menentang pencerobohan tentera Nazi Jerman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: