Saturday, June 12, 2010

Pilihan 4 rekaan baju kurung

SELESA dan bergaya, dua elemen penting yang ditampilkan butik fesyen D'Rias, menerusi koleksi terbarunya yang diperkenalkan baru-baru ini.

pix_middle
Koleksi yang memilih untuk mengangkat rekaan baju kurung moden dan baju kurta labuh itu memang menarik, sesuai bagi mereka yang masih tercari-cari rekaan busana untuk digayakan pada pagi lebaran tidak lama lagi.


Pemiliknya, Marziani Mohd Zain, berkata berbeza dengan rekaan jenama lain, koleksi baju kurung moden di butik miliknya lebih menyerlahkan gaya moden serta kejelitaan pemakainya.


Wanita mungkin sudah bosan bergaya dengan baju kurung biasa dan boleh beralih selera kepada rekaan kurung Pahang atau kurung moden yang lebih elegan dan kontemporari.


Untuk himpunan terbaru itu, butiknya menampilkan empat rekaan terkini iaitu baju kurung Pahang, baju kurung moden leher bulat, baju kurung moden leher kurung biasa dan baju kurung moden polos.


"Setiap rekaan yang diperkenalkan mempunyai keistimewaan masing-masing seperti hiasan jemeki dan labuci, potongan kain silang, rekaan tangan lepas serta alas di bahagian baju atau kain.


"Rekaan berkenaan boleh didapati dalam rona pastel menarik seperti krim, ungu dan kelabu dengan pelbagai motif menarik seperti polkadot dan abstrak.


"Menyerlahkan lagi penampilan, fabrik bermutu seperti sutera India, sifon serta sifon crepe menjadi pilihan untuk koleksi kali ini. Ia sememangnya mampu memberi keselesaan maksimum meskipun menggayakannya sehari suntuk," katanya.


Selain koleksi baju kurung, butik itu turut memperkenalkan rekaan baju kurta panjang menarik yang sesuai untuk digayakan bersama kain atau celana panjang.


Menurut Marziani, baju kurta labuh di butiknya boleh didapati dalam dua jenis rekaan iaitu leher Mandarin dan potongan leher biasa.


"Jika memilih untuk menggayakan baju kurta labuh polos, pastikan anda turut memakai aksesori seperti rantai dengan loket besar kerana ia mampu mengimbangi kekosongan yang ada.

"Bagaimanapun, jika memilih untuk bergaya dengan baju kurta bercorak, sebaiknya perlu meminimumkan aksesori yang dipakai kerana ia mungkin akan tenggelam di sebalik corak baju berkenaan," katanya. Selain koleksi berkenaan, D'Rias turut memperkenalkan koleksi kaftan moden menarik yang sesuai untuk digayakan ketika bersantai.


Kaftan berkenaan boleh didapati dalam dua rekaan iaitu potongan tiga segi dan kaftan moden biasa.


Ia boleh didapati dalam gabungan rona merah garang, ungu hitam berlatarkan putih serta merah hitam berlatarkan putih.


"Kaftan ini diperbuat daripada kain lycra yang sememangnya selesa dan mudah dijaga. Ia tidak mudah keronyok dan amat sesuai dijadikan pilihan ketika bersantai mahupun bercuti," katanya.Butik D'Rias yang beroperasi sejak 2001 ini boleh dikunjungi di pusat beli-belah SACC Mall di Shah Alam dan Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: