Sunday, June 13, 2010

Perkenalan Pasangan Kerdil Gelanggang Boling Berakhir Di Gerbang Perkahwinan

RAJA SEHARI... Pasangan pengantin kerdil Zamri Ismail, 35, dari Terengganu bersama pasangannya Shazila Che Shafie, 25, berjalan beriringan di perkarangan rumah pengantin perempuan di Kampung Bawah Bukit, Chuping, Kangar semalam. Pasangan ini bertunang pada 3 Oktober tahun lalu.

KANGAR: Perkenalan di sebuah pusat boling di Bukit Jalil dua tahun lepas berakhir dengan saat manis bagi pasangan kerdil, Zamri Ismail, 35 dan Shazila Che Shafie, 25, apabila mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri.

Majlis akad nikah pasangan istimewa itu berlangsung di Masjid Kampung Bawah Bukit, Chuping malam semalam dan hari ini pasangan raja sehari itu meraikan tetamu yang menghadiri majlis kenduri perkahwinan mereka di kampung itu.

Zamri yang berasal dari Kampung Tembakang, Kuala Terengganu adalah seorang mekanik motosikal manakala Shazila dari Kampung Bawah Bukit adalah graduan kursus penyediaan makanan Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) Kuala Lumpur.

Menceritakan detik perkenalan mereka, Zamri yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter, berkata beliau tertarik dengan Shazila yang tiga sentimeter lebih rendah daripadanya semasa mereka sama-sama menyertai pertandingan boling anjuran Pertubuhan Antarabangsa Orang Kerdil Malaysia di Bukit Jalil pada 2008.

"Selepas dua bulan bertemu, saya berjaya dapatkan nombor telefonnya daripada seorang rakan Shazila," katanya Zamri yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik.

Sementara itu, Shazila berkata selepas empat bulan berkenalan dengan lebih rapat, Zamri menyatakan hasrat untuk melamar dan mereka mengikat tali pertunangan pada 3 Oktober 2009.

Beliau tidak menyangka masih ada individu yang mahu melamarnya sebagai isteri walaupun saiz fizikalnya kecil.

Shazila merupakan anak tunggal dalam keluarganya menerima hantaran sebanyak RM4,000 dan mas kahwin RM2,085 serta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki.

Mengenai destinasi bermulan madu, beliau berkata mereka memilih Pulau Langkawi sebagai destinasi bulan madu mereka.

"Selepas ini, saya mungkin menetap di Perlis berikutan ibu saya tinggal berseorangan manakala suami saya mungkin juga akan berpindah ke sini," katanya ketika ditemui pemberita di majlis perkahwinannya hari ini.

Sementara itu, majlis perkahwinan di pihak pengantin lelaki akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 19 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: