GASING adalah sejenis permainan masyarakat Melayu yang sudah berusia ratusan tahun.
Jika ditanya kepada anak-anak muda sekarang mungkin ada di antara mereka yang tidak tahu apakah itu gasing atau bagaimana ia dimainkan sedangkan permainan rakyat itu adalah warisan nenek moyang yang begitu popular sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.
Menyedari kepentingan seni dan budaya itu dipertahankan, seorang anak muda, Remy Azizi Abdul Karim, mengasaskan syarikat Gasing Lagenda Enterprise (GLE) pada tahun 2007 bersama bapanya Abdul Karim Talib, 60.
Syarikat tersebut mempunyai sebuah bengkel membuat gasing di Bukit Rambai, Melaka.
Menurut Remy Azizi, 30, dengan bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), syarikatnya menghasilkan pelbagai jenis gasing untuk permainan gasing pangkah dan hiasan atau cenderamata.
Permainan gasing pangkah
Gasing pangkah selalunya dimainkan oleh dua kumpulan yang terdiri daripada empat orang dalam setiap kumpulan. Ia dimainkan di atas gelanggang bulat dipanggil bong yang mempunyai garis pusat sepanjang 14 meter.
Permainan bermula apabila empat biji gasing daripada sebuah kumpulan diputarkan dalam kawasan bong dan empat orang dari pasukan lain cuba memangkah gasing-gasing di dalam bong tersebut dengan gasing mereka.
Kumpulan yang mempunyai paling banyak gasing yang masih berputar di dalam bong akan diisytihar pemenang. Tetapi sekiranya gasing yang masih berputar daripada kedua-dua belah pihak sama banyak, kemenangan akan diberikan kepada gasing yang paling lama berputar dalam kawasan bong.
Jenis gasing pangkah yang dimainkan berbeza mengikut peraturan permainan dan negeri yang dimainkan. Di Melaka, gasing jenis berembang dan tunjang dimainkan dalam pertandingan gasing di negeri ini.
Tetapi gasing dari jenis gasing jantung yang dipercayai dicipta pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, kini hampir pupus apabila diharamkan penggunaannya dalam pertandingan rasmi pada tahun 1970-an kerana kekuatan memangkahnya amat mudah memecahkan gasing milik lawan.
Gasing bermutu tinggi
Gasing jantung merupakan satu contoh kehebatan pembuat gasing tradisional di Melaka seperti Remy Azizi yang mewarisi seni membuat gasing daripada bapanya sejak berusia 17 tahun.
Beliau berupaya menghasilkan gasing bermutu tinggi walaupun proses pembuatannya mengambil masa yang agak lama.
Ditemui di bengkelnya, Remy Azizi berkata tempoh menghasilkan sebiji gasing bergantung kepada kegunaan gasing tersebut.
Bagi gasing pertandingan yang memerlukan kualiti tinggi, beliau menggunakan kayu yang disimpan (peram) selama empat tahun sebelum mengambil masa selama dua jam untuk membentuk gasing pertandingan.
Bagi gasing hiasan dan cenderamata, beliau selalunya menggunakan kayu yang tidak diperam dan mengambil masa selama satu jam untuk membentuk gasing tersebut.
Setiap jenis gasing menggunakan kayu yang berbeza seperti kayu keranji, tualang, cengal dan leban kuning.
"Bagi menghasilkan gasing pertandingan yang bermutu tinggi, saya menggunakan pangkal pokok bakau yang terbenam dalam lumpur kerana ia tahan lasak," katanya.
Beliau berkata kayu itu kemudian dipotong menjadi bentuk kiub berukuran 15cm x 15cm x 15cm. Kiub yang diberi nama 'tual' diperam dalam tempat tertutup selama empat tahun untuk memampatkan komposisi kayu tersebut..
|
|
Setelah tual selesai diperam, beliau membentuk tual tersebut menjadi bentuk kasar gasing yang diberi nama 'gubal' sebelum beliau memasukkan paksi gasing ke dalam gubal tersebut.
Setelah dimasukkan paksi, Remy Azizi melarik gubal tersebut menjadi bentuk gasing yang dikehendaki dan melakukan proses pengimbangan sebelum gasing itu menjalani proses kemasan terakhir.
Masa hadapan
Jelas beliau, kalau hendak diikutkan memanglah perniagaan gasing tidak menghasilkan pendapatan lumayan.
"Tetapi minat menjadi sebab utama saya teruskan membuat gasing," kata beliau ketika ditanya mengenai jualan syarikatnya.
GLE mencatat jualan tahunan sebanyak RM15,000 pada tahun lepas manakala pada tahun 2008 sebanyak RM13,000 dan 2007 (RM10,000). Ia hasil daripada jualan dalam negara terutama di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor serta pelancong asing yang melawat bengkel beliau.
Selain daripada jualan terus di bengkel, GLE mengikuti promosi yang dianjurkan Kraftangan Malaysia di seluruh negara, malah pada promosi tersebut Remy Azizi akan membuat pertunjukan permainan sebanyak 20 jenis gasing.
Menurut beliau, selain daripada menukar fungsi gasing sebagai hiasan atau cenderamata, beliau dengan kerjasama Kraftangan Malaysia kini dalam usaha untuk menukar fungsi gasing sebagai perabot kecil seperti lampu tidur atau meja kecil.
Dengan usaha yang dilakukannya, beliau berharap dapat meluaskan pasaran syarikat terutama ke luar negara sekali gus mempertahankan warisan gasing pangkah daripada ditelan zaman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: