BARANGKALI anda sudah terbiasa mendengar mahupun membaca tip kecantikan yang menerangkan bahawa solekan wajah mampu kekal lama sekiranya pada peringkat awal telah dilapisi dengan sapuan krim asas.
Selain menitikberatkan pemakaian penyegar, krim pelembap dan penyamar noda, sapuan krim asas salah satu item solekan yang membantu membuatkan wajah bersinar.
"Namun saya dapati kebanyakan wanita tempatan terlalu obses membeli krim asas berjenama tanpa mengambil peduli sama ada ton krim tersebut ideal dengan kulit wajah. Apa yang penting kepuasan kerana mampu memiliki krim asas seperti dipaparkan menerusi iklan di televisyen atau majalah.
"Sewaktu membeli krim asas jangan terlalu tertumpu pada satu jenama saja. Seharusnya luangkan masa dengan mengunjungi pelbagai kaunter kosmetik yang menawarkan seleksi krim asas. Pada masa yang sama jangan malu bertanya kepada perunding kecantikan di sana," ulas jurumekap, Vie Xanddria yang turut memberitahu sapuan krim asas juga bertindak melindungi kulit wajah daripada sinaran ultra ungu (UV) dan menutupi kedutan serta garis-garis halus.
|
|
Berbicara lebih lanjut, Vie menjelaskan perkara utama sewaktu membeli krim asas adalah memilih ton krim asas yang sesuai dengan warna kulit wajah. Elak mencuba warna krim asas di belakang tapak tangan kerana warna kulit tangan dan kulit wajah tidak sama.
Teknik yang sebetulnya calitkan krim asas di rahang kanan atau kiri wajah kerana bahagian tersebut berada antara wajah dan leher. Jadi anda dapat memilih warna krim asas yang sekata dan sesuai untuk kulit wajah dan leher.
"Tidak dinafikan segelintir wanita menganggap mereka berjaya kerana mampu mendapatkan krim asas berjenama, tetapi gagal dari aspek membeli warna yang betul. Sebab itu kita perlu calit beberapa warna krim asas di rahang.
"Warna krim asas yang sesuai adalah warna yang tidak jelas kelihatan pada bahagian yang dicalit itu. Teknik ini bagi mengelakkan muka menjadi terlalu gelap atau terlampau putih sehingga memperlihatkan perbezaan ketara antara kulit wajah dan leher," saran Vie kepada Stailo.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: