Monday, June 7, 2010

Penampilan baru MyVi, ViVa

WAJAH baru MyVi penuhi cita rasa golongan muda.
WAJAH baru MyVi penuhi cita rasa golongan muda.
Perodua rancang lancar model diperbaharui pada separuh kedua tahun ini

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan melancarkan dua model yang diperbaharui pada separuh kedua tahun ini untuk memberikan lebih kesegaran dan mempelbagaikan lagi varian kereta kompak keluarannya di pasaran.

Menurut sumber, dua model diperbaharui itu adalah MyVi dan ViVa yang kini adalah model paling laris di Malaysia dengan jualan masing-masing sebanyak 7,048 unit dan 6,671 unit pada Mac lalu.
Katanya, pengenalan dua wajah baru berkenaan seiring dengan strategi Perodua yang sentiasa membuat pengubahsuaian untuk terus memenuhi cita rasa pengguna. “Perodua akan melancarkan beberapa model ‘facelift’ (model yang diperbaharui) pada separuh kedua tahun ini dan model berpotensi untuk diberi wajah baru itu adalah MyVi dan ViVa.“Perodua kini sedang mengemaskinikan sentuhan terakhir pada dua model terbabit. Apa yang pasti, pelancarannya bakal mencipta momentum keterujaan baru, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan pengguna terhadap kereta keluaran Perodua,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Difahamkan, bagi pembaharuan model MyVi, Perodua akan menggunakan badan model generasi baru Toyota Passo. Kapasiti kuasa enjinnya juga dipertingkatkan kepada 1.5 liter berbanding 1.0 liter dan 1.3 liter yang dilengkapi pada model MyVi sedia ada di pasaran.

Selain itu, beberapa perubahan dalaman dan luaran turut ditampilkan mengikut trend semasa bagi memenuhi cita rasa golongan muda dan ia dikatakan bakal mencipta satu suasana ‘populariti’ baru di kalangan kereta kompak di negara ini.
Sumber itu menambah, bagi Perodua ViVa wajah baru, ia akan didatangkan dengan rekaan baru jeriji depan yang lebih ranggi dan bergaya daripada model sedia ada.

Selain itu, katanya, rekaan bamper depan pengganti kepada model popular Perodua sebelumnya – Kancil dan Kelisa, itu mempunyai lampu kabus yang lebih besar.

“Rekaan bamper baru berkenaan menjadikan model ViVa yang diperbaharui itu kelihatan seperti ‘mini Alphard’. ViVa wajah baru itu juga ditampilkan dengan kemasan tempat duduk dalaman yang lebih anggun menggunakan fabrik baru lebih bermutu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: