|
WANITA jelita ini hanya mampu ketawa apabila diajak berbicara tentang persoalan cinta dan perkahwinan. Katanya, dia sudah menjangka soalan itu pasti akan ditanya kerana sedar itulah harga yang perlu dibayar oleh seorang selebriti sepertinya.
Tidak seperti kebanyakan artis yang lebih selesa memberikan jawapan selamat dan basi, Elaine Daly lebih senang untuk berterus-terang apabila membabitkan soal cinta.
Tanpa berselindung, dia mengakui, kini sedang melewati musim cinta yang cukup mekar bersama arjuna yang berjaya memanah tepat panah cinta ke jiwanya.
Namun, bekas Ratu Cantik Malaysia 2003 ini memohon pengertian apabila tidak mahu mendedahkan lebih lanjut identiti lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu.
Cerita Elaine, hubungannya dengan jejaka berdarah campuran Malaysia dan Australia itu masih baru dan segar iaitu tujuh bulan.
Namun, sepanjang tempoh itu, Elaine tidak menafikan dia cukup selesa berdampingan dengan temannya itu yang merupakan seorang ahli perniagaan.
“Perwatakannya cukup menarik perhatian saya. Lebih mengagumkan dia seorang yang penyabar.
“Malah, dia juga seorang yang begitu menyokong segala keputusan yang saya lakukan. Yang paling penting, kami satu kepala,” ceritanya lagi sambil ketawa kecil ketika diminta menceritakan personaliti teman lelakinya itu.
Baginya, lelaki yang kini menetap di Singapura itu memiliki banyak persamaan dengan dirinya.
Bagi Elaine, yang paling penting si dia dapat menerima dirinya seadanya walaupun tahu Elaine seorang selebriti ternama.
“Untuk meramalkan sejauh manakah hubungan kami akan pergi atau mampu memasuki fasa seterusnya masih terlalu awal. Kami pun belum lagi membincangkan soal perkahwinan kerana memikirkan usia hubungan kami yang dikira masih baru.
“Namun secara peribadi saya sudah lama bersedia untuk menukar status saya sebagai seorang isteri.
“Malah, untuk memiliki anak dan membina keluarga juga sudah lama ada dalam agenda hidup saya,” luah anak jati Kuala Lumpur ini dalam satu sesi fotografi di ibu negara, baru-baru ini.
Kalau sesiapa yang mengikuti kisah perjalanan hidup Elaine, pasti ramai yang tahu siapakah jejaka yang pernah singgah di hatinya.
Sudah pasti, pelakon kacak Hans Isaac pernah menjadi teman lelakinya untuk tempoh yang agak lama.
Malah, nama pemain drum kumpulan Estranged, Andy juga pernah dikaitkan dengan Elaine apabila pernah dilihat berdua dalam satu majlis.
Menyambung bicara, pada usianya yang sudah mencecah 33 tahun, manis benar untuk dia berkahwin.
Tetapi, Elaine enggan terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan kerana bimbang ia akan memakan diri.
Meskipun dia seorang yang sofistikated dan berfikiran terbuka, namun dalam bab kahwin, Elaine memiliki pemikiran yang konservatif.
“Perkahwinan bagi saya merupakan satu ikatan yang suci. Apa yang saya dambakan, semuanya berjalan mengikut adat serta tatacara yang betul untuk melengkapkan sebuah institusi perkahwinan itu.
“Seperkara lagi, perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi untuk seumur hidup kerana kita akan hidup bersama dengan lelaki yang bakal menjadi suami dan bapa kepada anak kita.
“Kerana itu, saya hanya akan bersedia untuk berkahwin apabila masa tiba di samping bertemu dengan lelaki yang benar-benar sesuai dan tepat untuk diri saya,” tutur graduan undang-undang ini dalam nada penuh diplomasi.
Kepada soalan adakah kegagalan dalam perhubungan lalu membuatkannya gusar untuk mengikat tali perkahwinan, dengan pantas, wanita tinggi lampai ini menggelengkan kepalanya seraya menafikan kenyataan itu.
Bagi Elaine, dia langsung tidak menjadikan apa yang telah berlaku sebagai satu halangan untuknya bergelar isteri.
Sebaliknya, kegagalan dalam perhubungan silam menjadikannya seorang yang cukup matang dalam membuat sebarang keputusan.
“Saya harus akui apa yang saya lalui sebelum ini banyak membuka mata saya tentang erti hidup yang sebenar.
“Memang kita tidak boleh terlalu berhati-hati dalam kehidupan tetapi segala yang kita lakukan semuanya perlu ditangani dengan bijak,” tuturnya penuh bersungguh sambil mengharapkan perhubungannya sekarang akan berterusan membawa sinar bahagia untuk dirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: