Thursday, June 17, 2010

Pak Long cuba nasib ceburi nyanyian



Nama Pak Long mungkin masih asing dan kedengaran janggal bagi segelintir pihak, namun pertaruhan anak jati Kedah ini menerusi lagu Selagi Ada Rindu di laman web YouTube yang mendapat sambutan luar biasa di kalangan peminat seakan menyerlahkan potensinya untuk melangkah jauh dalam dunia hiburan tanah air.

Siapa sangka kerana sebuah lagu yang mengasyikkan, lelaki berusia 46 tahun ini tiba-tiba menjadi sebutan dalam kalangan peminat muzik.

Pak Long atau Shafie Ahmad sebenarnya sudah lama berkarya dalam industri. Sebelum ini bapa kepada tujuh anak ini hanya dikenali sebagai pencipta lagu dan juga orang di belakang tabir menerusi lagu-lagu gubahannya termasuklah Cinta Pantai Merdeka dan Al-Jannah.

Tetapi demi minat yang mendalam dan keyakinan terhadap muzik yang diperjuangkannya memberi kekuatan untuk Pak Long mencuba nasib sebagai penyanyi biarpun dia bermula agak lewat.

”Bagi saya, usia hanyalah angka. Sama ada kita bermula pada usia muda atau lambat sedikit, ia bukan satu isu besar. Saya berani untuk tampil sebagai penyanyi pun selepas melihat sambutan luar biasa peminat terhadap lagu Selagi Ada Rindu yang mencecah jutaan tontonan di YouTube.

”Daripada situ saya lihat masyarakat kita sebenarnya semakin bijak dalam menilai dan menghargai muzik. Hari ini, bukan rupa atau usia yang menjadi faktor kejayaan seseorang penyanyi itu untuk diterima tapi kerana karya yang sedap didengar,” katanya selepas pelancaran album sulungnya di Red Box Ria, Sogo baru-baru ini.

Menurut Pak Long hasrat untuk bergelar penyanyi telah lama terbuku di hati, malah jika mendapat ‘lampu hijau’ daripada ayahnya di sekitar tahun 1990-an, sudah tentu Pak Long sudah lama bergelar penyanyi.

Dek kerana rasa hormat dan patuh kepada permintaan orang tuanya, dia terpaksa menguburkan impiannya itu dan pulang menjaga dan menguruskan arwah ayahnya yang sedang uzur ketika itu.

Malah kerana rasa hormat kepada permintaan ayahnya ketika itu, Pak Long mengakui dia langsung tidak menyentuh gitar dan berkarya hingga lapan tahun lamanya sehinggalah pihak pengurusan Mawi berjumpa dengannya dan memintanya menghasilkan sebuah lagu.

Album Selagi Ada Rindu yang mengandungi 10 lagu, termasuk Selagi Ada Rindu, versi rakaman semula lagu Cinta Pantai Merdeka dan Al-Jannah ini diterbitkan oleh Kacip Emas Global Sdn Bhd. Album edaran FMC Music ini telah berada di pasaran sejak Mei lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: