Monday, June 14, 2010

Ning idam cahaya mata



Dalam merencanakan kehidupannya sebagai artis, Ning Baizura gigih merancang setiap apa yang ingin dilakukan dalam dunia seni agar namanya terus kekal dalam meniti arus kegemilangan industri hiburan tanah air.

Disebabkan itu juga, jika anda sentiasa mengikuti perjalanan seninya, dilihat wanita gigih ini sentiasa berusaha meransangkan setiap inci perjalanan seninya itu.

Namun, dalam kesibukan Ning menguruskan segala perancangan serta aktiviti seninya, jauh di sudut hati Ning sangat mengimpikan kehadiran cahaya mata dalam kehidupannya bersama suami tercinta, Omar Sharif Christopher Layton Dalton.

Oleh kerana masih tidak nampak akan perubahan ketara pada diri Ning itu, ada yang dengan mudah beranggapan bahawa dirinya merancang dalam soal penganugerahan ini.

Dalam pertemuan bersama Ning di sekitar majlis malam media yang dianjurkan stesen radio Suria FM baru-baru ini, Ning sama sekali menyangkal apa yang diperkatakan padanya itu.

“Dalam soal ini, terus-terang Ning katakan memang teringin sangat untuk mempunyai anak. Sejak mula berkahwin hingga sekarang Ning dan suami tidak pernah merancang dalam hal ini. Kami sentiasa bersedia dan mencuba.

Memandangkan umur Ning pun sudah menghampiri 35 tahun jadi memang sudah bersedia dari awal lagi. Namun hingga sekarang masih belum ada rezeki dan ruang untuk kami memiliki cahaya mata,” katanya.

Sementara itu, Ning akur dengan keadaan ini dan sentiasa bersabar. Kelewatan ini juga berlaku mungkin disebabkan kesibukan Ning yang menguruskan sendiri dirinya sebagai seorang artis yang aktif.

Ada juga orang yang terdekat dengannya mensarankan agar Ning mengurangkan sedikit waktu bekerja dan berehat dalam mencari ruang untuk dirinya menambah bilangan ahli keluarga.

Dalam pada itu, dengan sifat keibuan yang tinggi dalam diri pada Ogos ini Ning dan suami akan berangkat ke Dublin, Ireland untuk melihat perkembangan anak tirinya yang masih bersekolah di sana.

“Ning sangat rindukan anak-anak tiri Ning dan mengambil keputusan untuk mengikut suami ke Ireland selama dua minggu dan menghabiskan musim cuti sekolah mereka bersama,” katanya dengan nada yang begitu gembira.

Kata Ning: “Dalam soal pertemuan ini tidak mendatangkan masalah langsung bagi Ning kerana hubungan kami memang sangat baik dan rapat malah mereka semua manja dengan Ning.”

Sementara itu, apa yang diperkatakan oleh Ning seakan jelas dan terbukti dengan adanya single terbaru berjudul Mama Papa yang akan dimuatkan dalam album baru solonya yang akan dilancarkan selepas Hari Raya ini nanti.

Single daripada Audi Mok ini sudah pun mula diputarkan di beberapa stesen radio. Selain itu, turut mengetengahkan lagu Sampai Bila dan Embunan Bersinar.



Kembali ke dunia teater

Walaupun Ning terkenal sebagai seorang penyanyi, jika dilihat dengan lebih mendalam bakat lakonan yang ada padanya tidak kurang hebat.

Sebelum beraksi lebih komersil dalam beberapa filem, Ning mula aktif sebagai seorang pelakon teater dan kali terakhir berada di pentas teater pada 1996 menerusi cerita The Story Teller.

Kali ini untuk menggarap kembali kemampuannya, Ning cekal menerima tawaran sebagai watak utama dalam teater Bahasa Inggeris berjudul, Shout! The Mod Musical yang berlatarbelakangkan kehidupan sekitar tahun 60an.

Teater yang mula dipentaskan bermula 15 Julai depan di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Centre dan telah diarahkan oleh Micheal Voon ini turut membariskan pelakon wanita lain yang hebat antaranya Tria Aziz, Shanel Shanty, Tisha Zarina dan Nikki Palikat.

“Selain kegembiraan diberi peluang menjadi nadi kepada tetaer ini, Ning sangat sukakan perjalanan ceritanya kerana lain daripada yang lain di mana mengetengahkan lima orang wanita yang mempunyai warna yang menggambarkan perjalanan zaman yang berbeza,” katanya yang memikul tanggungjawab yang besar dalam teater ini iaitu sebagai mentor kepada wanita-wanita lain.

Pada awalnya merasa sedikit kekok untuk terus beraksi, berikutan sudah lama tidak mengaktifkan diri. Atas latihan yang sudah dilakukan hampir empat minggu nyata semuanya sudah mula berjalan dengan lancar.

Antara perkembangan Ning yang lain termasuklah akan menemui anda tahun ini dengan penglibatannya dalam dua buah filem komersil iaitu Megika dan Cun. Jika tidak ada aral melintang kedua-duanya akan dipertontonkan sekitar penghujung tahun ini.

Selain itu, Ning juga sibuk menguruskan bidang perniagaan yang baru diceburinya beberapa bulan yang lepas dengan pembukaan The Celebrities Club, Jalan Solaris, Kuala Lumpur.

“Walaupun masih baru dalam dunia kelab, caf dan restauran namun Ning tetap berasa lega apabila sudah mula menampakkan perkembangan yang memberansangkan. Hingga kini, sambutannya agak menggalakkan di mana ramai artis yang mula ingin melancarkan album serta produk mereka di sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: