Monday, June 7, 2010

Nik bintang hati Anne




EMPAT tahun menjalin kasih sebelum mahu memanjangkan asmara tersebut dengan ikatan perkahwinan, kata deejay Hot.FM, Putri Andreanna Syigim Mohd. Razalli, 29, atau mesra disapa sebagai Anne, bersetuju menikahi lelaki bernama Nik Mahathir Zainudin, 33, bukan satu keputusan sukar.

Usia empat tahun percintaan mereka telah banyak membantu dia memilih sesuatu yang terbaik dalam hidup.

Tapi siapa kata tempoh empat tahun bercinta itu manis semuanya? Atau Anne tidak pernah mengerling lelaki lain sebagai pilihan lain?

Semuanya, kata Anne, gelombang asmara yang kadang tidak indah telah ditempuhinya. Namun akhirnya, destinasi cinta dia menjadi milik Nik. Mereka akan disatukan pada 12 Jun ini sebagai pasangan suami isteri.

"Bohonglah kalau saya katakan sepanjang empat tahun itu tiada gelombang bosan, gaduh dan hal-hal yang kurang enak. Semua orang yang menjalin hubungan akan mempunyai gelombang-gelombang ini. Begitu juga saya.

"Malah saya akui, dalam tempoh berkawan ini, kami juga pernah mengambil ruang untuk diri masing-masing. Saya juga ada berkenalan dengan lelaki lain dalam tempoh tersebut. Barangkali akan ada yang berasa saya kurang setia atau sebagainya.

"Tapi saya berpegang kepada mahu mencari teman hidup yang terbaik buat saya. Berkahwin bukan untuk sehari dua atau macam tukar kekasih. Jadi saya harus membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan saya.


CINTA sejati. Anne dan Nik bersedia dengan sebarang kemungkinan yang melanda dalam rumahtangga mereka kelak.


"Alhamdulillah, dalam tempoh perkenalan dan pencarian itu, jodoh saya memang tidak boleh lari lagi daripada Nik. Jadi pada saat dia melamar mengajak saya berkahwin tahun lalu, saya terus bersetuju kerana sudah tetap hati dan yakin dengan pilihan saya," katanya serius.

Duduk di hadapan saya, bakal pengantin yang kini membilang detik bahagianya pada hujung minggu ini turut memberitahu, usia 29 tahun dianggap sebagai usia yang sudah cukup 'masak' buat dia menamatkan zaman solo. Sementelah semua asam garam dunia solo sudah dilaluinya.

Fizikal dan mental sudah diperkemaskan untuk memikul tanggung jawab sebagai isteri kepada belahan jiwanya, Nik. Tiada kegusaran timbul lagi. Tidak seperti kegusaran yang timbul sebelum ini sewaktu diajak berkahwin dua tahun lalu.

Katanya: "Kalau ikutkan rencana, tahun lalu kami sudah bernikah. Namun kami tangguhkan. Bukan kerana dari segi kestabilan hidup, tapi dari segi kestabilan mental. Saya tahu, tahun lalu, mental saya masih belum kuat untuk berkahwin.

"Tapi tahun ini saya sudah mempersiapkan fizikal dan mental untuk melalui fasa baru dalam kehidupan. Sebab itu saya bersetuju. Lagi pun saya rasa 29 tahun itu sudah cukup tua bagi saya. Saya bayangkan usia 27 atau 28 tahun saya berkahwin, tapi rupanya 29 tahun baru sedia berkahwin."

Kata Anne yang membuat cintanya dikunci Nik adalah sikap pereka grafik di agensi berita Al-Jazeera yang penyabar, praktikal dan menerima dia seadanya. "Nik tidak pandang status saya dalam industri. Dia juga kurang gemar diberi perhatian.

"Dia selesa bersama saya, Anne, wanita yang sama macam orang lain. Bukan Anne hos atau deejay. Dan paling penting, dia sangat penyabar orangnya," kata Anne yang turut memberitahu sikap kontra antara mereka - Nik pendiam dan dia banyak cakap merupakan antara faktor utama hubungan mereka kukuh.


MENGEJAR bahagia. Semoga Anne dan Nik menjalani kehidupan suami isteri dengan harmoni.


Umrah

Membuat keputusan untuk berkahwin bermakna Anne sudah bersedia dengan kemungkinan yang bakal berlaku dalam kehidupan masa depan mereka berdua. Akan menetap di kediaman suaminya sebaik diijab kabul kelak, Anne juga tidak menolak kalau masa depannya dalam bidang seni bakal berubah.

Namun, itu tidak bermakna dia akan meninggalkan bidang seni yang telah menjadi lapangannya sejak sekian lama. Tetapi menjadi manusia yang realistik, dia juga harus bersedia seandainya tidak lagi mempunyai karier dalam bidang ini.

"Saya adalah orang yang tidak merancang. Saya jenis yang ikut arus. Katakanlah satu hari nanti selepas berkahwin saya perlu berhenti kerja kerana mengikut suami berhijrah atau sebagainya, saya harus akur.

"Tapi itu bukanlah tanda saya akan berhenti kerja. Saya masih seronok dan sayangkan kerja saya. Malah buat masa ini, bakal suami tidak pernah meletakkan syarat agar saya berhenti kerja kelak. Kalau itu berlaku (berhenti), ia adalah atas kerelaan saya dan pengorbanan saya untuk rumahtangga kami," katanya yang kini mengendalikan segmen Hot.FM Jam bersama Kieran bermula pukul 4 petang hingga 8 malam.

Hanya bercuti selama seminggu sebelum mula bertugas sehari selepas majlis resepsi, Anne dan Nik tidak sempat meraikan cinta mereka dengan rencana bulan madu.

Kesibukan Anne membataskan mereka berbuat demikian sehingga Ogos menjelang kelak. Dan pasangan ini bermimpi untuk menunaikan umrah sebagai 'tanda restu' termeterai ikatan mereka secara sah.


ANNE dan Nik akan menunaikan umrah sebagai 'restu' kehidupan baru mereka.


"Insya Allah, kami merancang umrah. Tiada signifikan. Cuma saya mahu menjejakkan kaki ke sana bersama suami. Itu niat saya," katanya ringkas.

Sebagai seorang manusia yang tidak gemar merancang, dia juga menerima seandainya rezeki memperoleh cahaya mata datang segera atau lewat. Cukup menggemari kanak-kanak, kata Anne, jika rezekinya hamil sejurus bernikah kelak, dengan lapang dada dia menerima, begitu juga sebaliknya.

Akan menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan selain wang hantaran berjumlah RM11,181 iaitu simbolik hari kelahiran Anne pada 11 Januari 1981, pasangan ini akan dinikahkan pada 12 Jun ini di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara.

Mereka kemudian akan diraikan pada 13 Jun di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bandar Sri Damansara sebelum majlis bertandang diadakan pada 19 Jun di Ampang, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: