SEPULUH peserta program siri pencarian Imam Muda masih meneruskan usaha mereka menjadi imam terpilih kerana tiada penyingkiran dibuat pada minggu pertama program itu.
Mereka terdiri daripada Ahmad Syakir Zamri, 19, Mohd Taufek Mohd Noh, 27, Amiril Banin, 25, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26 dan Ahmad Hazran Ahmad kamal, 26.
Selain itu, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, Nik Muhammad Adib Md Amin, 22, Nuri Ali Arbain, 25 dan Shara fuddin Suaut, 26 turut bernasib baik kerana tiada penyingkiran yang membolehkan mereka berusaha memikat hati khalayak dengan kemahiran yang ada.
Pada minggu pertama itu semua peserta telah diuji dan didedahkan dengan situasi sebenar untuk menguruskan jenazah sempena minggu bertemakan kematian.
Menurut Pengetuanya, Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz, para peserta juga kelihatan bersedia walaupun ada antara mereka yang tidak pernah menguruskan jenazah sebelum itu.
"Tugasan minggu lalu, mereka telah menguruskan tiga jenazah muslim yang tidak dituntut oleh waris.
"Sewaktu menguruskan jenazah itu mereka telah dibimbing dan dipantau oleh pihak kami," katanya ketika dihubungi baru baru ini.
Selain itu, tambahnya, antara aktiviti lain yang dilakukan oleh peserta ialah membaca khutbah Jumaat di masjid.
"Pada minggu pertama ini dua orang peserta terpilih akan membaca khutbah di Masjid Imam Al-Ghazali, Manjalara, Kepong, Selangor.
"Setiap minggu akan ada dua peserta membaca khutbah ketika solat Jumaat sebagai persediaan kepada peserta sebelum bergelar Imam Muda," tambahnya.
Jelasnya, tiada penyingkiran dibuat pada minggu pertama kerana semua peserta belum habis pembelajaran.
"Tidak adil kepada mereka kerana proses pembelajaran belum habis dan penilaian untuk mereka juga akan tidak seimbang.
"Penilaian setiap peserta dibuat berdasarkan 50 peratus teori dan 50 peratus lagi praktikal," jelasnya.
Pengetua Imam Muda dalam program siri pencarian itu turut dibantu oleh Ustaz Shahrizan Daud dan Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang.
Program Imam Muda bertujuan mencari pelapis dan melahirkan pemuda berwibawa, berintegriti dan berkredibiliti bagi memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai imam malah sebagai pemimpin.
Mereka juga turut didedahkan dengan pengisian padat tentang hal ehwal keagamaan dan ilmu asas yang penting sebelum bergelar seorang imam.
Selain itu, para peserta juga diberi peluang berdakwah kepada golongan remaja selain aktiviti sukan seperti memanah, berpedang dan berkuda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: