Thursday, June 10, 2010

Maya model cat


MASIH enggan merungkai kisah peribadinya, kini Maya lebih fokus dengan kerjaya.


TIDAK kira kempen apa yang melibatkan alam sekitar, aktres Maya Karin sering kali akan menjadi penyokongnya. Bagi Maya, skop melindungi bumi amat luas. Jadi tidak kira apa sahaja cara yang digunakan, dia akan menghulurkan bantuan dalam segala bentuk.

Bukan sahaja boleh menggunakan statusnya untuk bersama-sama menyebarkan mesej kepentingan alam sekitar, Maya juga sentiasa terlibat sama tidak kira sebagai sukarelawan atau jurucakap. Apa yang penting adalah kesedaran itu dapat disebarkan dengan berkesan.

Pernah mengendalikan kempen anti beg plastik tahun lalu, aktivis alam sekitar itu juga baru-baru ini bekerjasama dengan cat Dulux dalam menjayakan kempen Bank Cat Dulux. "Kempen ini merupakan khidmat masyarakat awam bagi memberi kesedaran tentang kaedah yang betul untuk membuang cat yang tidak digunakan.

"Menariknya, dalam kempen ini, anda boleh membawa cat yang berlebihan ke pasar raya Tesco dari 11 Jun hingga 3 Julai untuk diproses dan dikitar semula daripada dibuang ke sungai atau longkang yang boleh menyebabkan pencemaran," kata Maya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen tersebut.

Bagi setiap liter cat yang dikumpul, penganjurnya, AkzoNobel, akan menggunakan untuk kerja baik pulih empat buah rumah kebajikan di Semenanjung Malaysia.

"Kempen mengumpul cat ini akan berlangsung selama dua bulan. Pihak penganjur mengharapkan kutipan sehingga 20,000 liter cat dan saya sudah mendaftarkan diri sebagai sukarelawan untuk mengecat rumah orang tua dan rumah anak yatim," tambah Maya.

Sungguhpun dirinya lebih terkenal sebagai aktivis alam sekitar, Maya juga pernah melibatkan diri dalam kempen kesedaran lain seperti Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia dan kempen Aids. Cuma, dirinya lebih komited terhadap isu alam sekitar.


MAYA baru sahaja selesai mengubah suai dua buah rumahnya.


"Apa sahaja isu yang berkaitan dengan alam sekitar, saya akan melibatkan diri kerana masalah ini amat luas. Memang saya ada menyokong kempen lain tetapi keutamaan diberikan kepada isu alam sekitar. Ini kerana tidak ramai orang yang menyokong kempen sebegini berbanding dengan kempen kesihatan," ujarnya lagi.

Berasa gembira kerana dapat membantu, Maya pada masa yang sama juga berasa sedih. Ini kerana pada Maya, banyak lagi benda yang perlu dicapai, "Memang dari kecil saya mempunyai hasrat untuk terlibat dalam segala usaha melindungi alam sekitar.

"Mungkin disebabkan saya dibesarkan dalam keadaan sebegitu. Jadi kesedaran terhadap pelindungan alam sekitar sudah tertanam sejak kecil," katanya.

Sibuk sebagai pengacara Nona, Maya juga bakal terlibat dalam penggambaran sebuah filem terbarunya arahan Osman Ali. Namun, dalam berdepan dengan jadual yang padat, Maya sentiasa mencuri masa untuk berehat. Enggan mengulas lanjut mengenai kehidupan terbarunya, Maya lebih selesa mengunci mulut apabila ditanya keadaan dirinya sekarang.

Katanya: "Saya tidak mahu bercakap panjang mengenai hal peribadi saya. Kini saya sibuk dengan kerjaya saya. Saya hanya melakukan apa yang perlu dilakukan. Selain bekerja, saya baru sahaja habis mengubah suai dua rumah saya.

"Selain berlakon, saya juga suka melabur hartanah. Itu adalah jaminan kepada masa depan saya jika tidak aktif dalam dunia seni lagi."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: