Friday, June 11, 2010

Luahan seni ayam Nando's


HASIL rekaan 10 pemenang peraduan anjuran Nando's dipamer dan dilelong kepada orang ramai di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MENTERJEMAHKAN perasaan melalui lukisan mahupun rekaan kreatif adalah satu cara yang berkesan untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati. Berbeza dengan terjemahan biasa, cara itu nyata turut memberi kebaikan kepada perekanya jika ia terpilih untuk diangkat ke pentas kemenangan.

Nando's pada tahun ini sekali lagi menganjurkan peraduan Peri-fy Your Art iaitu pertandingan yang mengetengahkan bakat anak-anak muda dari universiti tempatan untuk meluahkan rasa melalui seni.

Peraduan tersebut pada tahun ini mengangkat tema warisan iaitu memberi perhatian kepada warisan jenama Nando's yang berasal dari Afrika Selatan.

Menjadi pemenang utama peraduan tersebut untuk dua tahun berturut-turut, Mohd. Hirzaq Abd. Haris dari Univeriti Teknologi Mara (UiTM) menggondol wang tunai RM3,000 berserta baucar daripada Nando's.

"Pada tahun ini, saya mengangkat motif setem yang diberi judul Connective. Motif setem lama ini mengangkat tema warisan yang ingin disampaikan oleh Nando's.


MOHD. HIRZAQ (tengah) menjadi pemenang utama pertandingan utama Peri-fy Your Art anjuran Nando's untuk dua tahun berturut-turut.


"Saya mengambil inspirasi daripada setem lama dengan gambar peta Tanah Melayu. Saya mencantumkan gambar ayam sebagai simbolik dengan setem itu sebagai warisan Nando's," katanya kepada Kosmo! sambil menjelaskan bahawa lukisan itu disiapkan dalam tempoh seminggu sahaja.

Selain itu sembilan lagi pemenang yang dimonopoli pelajar UiTM dan Akademi Seni Dasein turut membawa pulang hadiah sagu hati.

Hasil-hasil karya yang dihasilkan oleh pemenang itu kebanyakannya mengangkat motif permainan tradisional, perayaan Malaysia, beca, wayang kulit, bangunan lama, ayam, pakaian, keris dan abstrak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nando's, Mac Chung Lynn, 10 buah lukisan yang mendapat tempat tersebut berserta 30 lukisan lain yang terpilih akan dilelong kepada umum.

"Separuh daripada hasil jualan tersebut akan diserahkan kepada peserta terbabit manakala separuh lagi akan dikongsi oleh tiga pemenang utama tersebut."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: