SERINGKALI kita mendengar pepatah, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Namun, bagi mengurus dan memahami anak masing-masing, ibu bapa perlu ada kemahiran dan ilmu keibubapaan.
Ia secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan anak-anak. Terdapat tiga jenis gaya keibubapaan yang utama. Gaya keibubapaan yang dimaksudkan ialah:
* Autoritatif
Ibu bapa autoritatif bersifat tegas, namun sedia mendengar pandangan anak-anak mereka. Mereka juga bertolak ansur mengikut keadaan dan anak-anak dididik dengan penuh kemesraan. Kesannya, anak-anak dapat menikmati kehidupan dan mempunyai motivasi yang tinggi. Ini merupakan gaya keibubapaan yang terbaik.
* Autoritarian
Ibu bapa yang mengamalkan gaya ini tidak mempunyai tolak ansur, mengenakan kawalan yang ketat, menentukan peraturan keluarga yang perlu dipatuhi tanpa soal, menggunakan kaedah disiplin bersifat hukuman dan segala keputusan ibu bapa tidak boleh dibantah. Akibatnya, hubungan mereka dengan anak mungkin akan renggang kerana tidak mempercayai dan wujud perasaan kurang berpuas hati.
* Permisif
Ibu bapa memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak mereka tanpa ada kawalan. Mereka lebih memenuhi keperluan anak-anak, tidak membentuk peraturan keluarga yang jelas dan tidak menerangkan antara tingkah laku yang baik dan sebaliknya. Keadaan ini akan membuatkan anak-anak bersifat kurang matang, kurang kawalan diri, kurang sikap tanggungjawab sosial dan kurang keyakinan diri.
Apa yang boleh ibu bapa lakukan:
* Ibu bapa sebagai model ikutan
Ibu bapa menjadi model ikutan yang ideal untuk remaja kerana mereka belajar secara berkesan melalui peniruan dan pemerhatian. Bersikap negatif seperti panas baran, mendera, mementingkan diri dan memaki hamun memberi kesan psikologi remaja. Tidak mustahil jika remaja sendiri mempunyai sifat sedemikian memandangkan pengaruh yang diterima.
* Kenali rakan anak
Buangkan rasa malu atau ego untuk mengenali rakan-rakan anak anda. Cara ini memberitahu anda dengan siapa anak anda berkawan.
* Berhubung dengan guru
Sentiasa berhubung dengan guru sekolah anak anda mengenai perkembangan anak. Cara ini membolehkan guru memberitahu anda seawal mungkin jika anak anda dikesan bermasalah.
|
|
* Kualiti masa
Berbual kosong dengan anak sahaja tidak memadai. Fikirkan untuk memaksimumkan masa bersama dengan anak. Ibu bapa dan anak-anak yang sejahtera sering berkomunikasi mengenai pelbagai perkara dan bukan hanya apabila wujudnya konflik.
* Kebebasan terkawal
Ibu bapa wajar menerapkan kebebasan yang terkawal ke atas anak-anak mereka. Kebebasan yang diberikan patut tidak melampaui batas iaitu mempunyai had-had tertentu. Ini penting bagi menjamin tidak timbul sebarang unsur negatif yang mempengaruhi mereka.
* Bersikap realistik
Pastikan anda bersikap realistik terhadap kemampuan anak anda seiring dengan perkembangan umurnya. Ini penting agar anda tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi atau tidak realistik.
Ada ibu bapa terlalu mengharapkan anak mereka cemerlang dalam bidang-bidang tertentu mengikut kemahuan mereka tanpa menghiraukan kemahuan dan kebolehan remaja itu sendiri. Harapan tidak realistik dikhuatiri boleh menyumbang tekanan ke atas anak-anak.
* Pengurusan disiplin
Pengurusan disiplin yang salah boleh membawa implikasi kepada anak-anak terutama dari segi kognitif, emosi dan tingkah laku. Disiplin sebenarnya melibatkan langkah pencegahan dan pemulihan.
Langkah pencegahan termasuklah pengajaran dan latihan untuk membina kebolehan remaja serta penyediaan sempadan bertingkah laku. Pemulihan pula bertujuan membetulkan salah laku remaja dan membantu remaja supaya tidak mengulangi tingkah laku yang jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan agama.
Peraturan sepatutnya diwujudkan sejak di peringkat awal lagi. Ini boleh dimulakan dengan membuat peraturan-peraturan yang mudah. Peraturan perlu dilaksanakan secara konsisten dan tidak bersikap berat sebelah.
* Beri penghargaan
Memberikan penghargaan terhadap remaja juga adalah salah satu usaha untuk menunjukkan kasih sayang. Remaja akan berasa bangga kerana mendapat penghargaan terutama daripada ibu bapa. Mereka merasakan bahawa bakat atau kebolehan mereka mendapat perhatian dan dihargai.
Sumber: http://www.lppkn.gov.my
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: