PEKAN - Percutian lapan sekeluarga di bandar Kuantan berakhir dengan tragedi apabila lima daripada mereka maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria yang dinaiki terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 87 Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai di sini semalam.
Kejadian pukul 7.45 pagi itu berlaku apabila kenderaan itu merempuh bahagian tepi kanan sebuah treler tanpa muatan ketika kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Mas Ria, Muar, Johor.
Difahamkan, sebelum kejadian, pemandu treler berusia 50 tahun dari arah Segamat menuju Kuantan gagal masuk ke lorongnya semula selepas memotong sebuah kenderaan lain di garisan berkembar di situ.
Ekoran itu, kenderaan yang dipandu Roland Wee Seng Hock, 56, merempuh belakang treler tersebut menyebabkan ia berpusing sebelum terperosok ke bawah perut treler itu.
Selain Seng Hock, mereka yang maut ialah ibu mertuanya, Lim Kim Boon, 79, serta tiga anak Seng Hock, Joash Wee, 23, Jelyn Wee, 16, dan Jasinth Wee, 18.
Tiga yang kritikal pula ialah isteri Seng Hock, Chew Chin Loi, 54, serta dua lagi anak mereka iaitu Jemima Wee, 17, dan Josiah Wee, 13.
Seng Hock merupakan Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Andrew di Muar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Supritendan Amran Sidek berkata, empat mangsa mati di tempat kejadian manakala Jasinth mati selepas empat jam dirawat di Hospital Muadzam Shah, Rompin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: