|
|
BUAT pertama kalinya, Lexus Malaysia memperkenalkan varian sport bagi model paling mewahnya di pasaran negara ini, Lexus LS 460 sebagai memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan karakter pemanduan yang lebih sporty dalam barisan jenama Lexus. Dari kejauhan, mungkin tidak nampak perbezaan antara versi sport ini dengan versi mewah iaitu LS 460L.
Namun, pemerhatian lebih teliti akan dapat mengesan bahawa varian sport ini didatangkan dalam satu warna eksklusif iaitu hitam dengan body kit sekeliling yang menambahkan elemen ‘maskulin’ dan garisan krom pada bawah badan serta saiz rim roda 19 inci.
Lampu depannya kini lebih besar dengan pencahayaan Bi-Xenon dan 8 LED (light-emitting diodes) di dalamnya dan elemen LED itu turut ada pada sebelah lampu isyarat cermin sisi, bagi menerangi kawasan luar pintu semasa berhenti. Jeriji depannya terdapat empat baris (berbanding lima bagi varian LS 460L) dan diberi gaya lekuk berwarna hitam.
Tatkala LS 460L adalah kenderaan menyerupai konsep limosin iaitu dibawa oleh pemandu peribadi dan pemiliknya di belakang, LS 460 Sport ini adalah bagi pemilik yang mahu memandu sendiri kereta mewah yang lengkap dengan ciri-ciri teknologi automotif yang tinggi.
Harganya pun RM110,000 lebih murah dari LS 460 L yang dijual pada harga atas jalan RM829,448 sebuah tanpa insurans. Dengan insurans tambah RM21,687 manakala LS 460 Sport ialah RM719,448 (insurans RM18,827).
Ruang dalaman LS 460 Sport, menawarkan tiga pilihan warna dalaman dengan Black Saddle Tan sebagai warna eksklusif termasuk trim kayu dipanggil Ash Burl yang mencetuskan rasa anggun dan mewah, apatah lagi ia direka ‘bertemu’ dari papan pemuka ke panel pintu. Ia mengagumkan (lihat gambar) kerana ia kelihatan sungguh ‘tepat’.
Papan pemuka LS 460 ini telah diberi sedikit sentuhan baru bagi menekankan cita rasa ruang luas. Trim krom aluminium juga digunakan pada panel instrumen. Di tengah papan pemuka ialah panel sesentuh EMV (Electronic Multi Vision) yang memaparkan pelbagai maklumat seperti pendingin hawa, audio dan hiburan lain. ‘Butang’ penukar bagi EMV telah diperbesarkan bagi mudah untuk dikenal pasti dan digunakan.
Sebagai sebuah kenderaan berlogo sport, LS 460 Sport ini mempunyai padel penukar gear pada kemudi roda sama seperti kereta F1. Cuma disebabkan saiznya masih terasa besar, penulis langsung tidak menggunakan padel tangan semasa sesi pandu uji. Tidak selesa.
Satu ciri yang tidak dikurangkan antara LS 460 L dengan LS 460 Sport ini ialah sistem audio yang direka khas untuk Lexus iaitu jenama mewah Mark Levinson. Menggunakan 19 pembesar suara, Mark Levinson 7.1 Reference Surround System mampu menghasilkan bunyi seakan dalam dewan konsert. Pasanglah lagu klasik Sebastian Bach. Terpegun seketika dibuatnya!
LS 460 Sport ini menggunakan enjin 4,608 c.c Suntikan Terus Bahan Api (DFI) D-4S, V8 32 Injap DOHC dengan VVT-iE berganda. Ia memiliki kuasa maksimum 380 kuasa kuda pada 6,400 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 493 Newton meter pada 4,100 rpm. Enjin ini sama dengan 460 L tetapi 460 Sport dipasang dengan sistem gantungan penumatic yang diberi penambahan untuk rasa sporty yang lebih serta penstabil lebih tebal bagi mengurangkan risiko terbabas dan keupayaan mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi.
Ciri maju yang terdapat padanya ialah penggunaan motor elektrik berbanding sistem hidraulik, yang mengurangkan gegaran dan kehilangan kuasa semasa menggunakan sistem VVT-i. Lexus sememangnya terkenal dengan kesenyapan ruang dalamannya. Bunyi bising dan gegaran dari komponen enjin diperiksa dengan teliti menggunakan teknologi digital dan diperkemaskan oleh pakar rekaan dipanggil Takumi.
Satu lagi ciri hebat S 460 ini ialah transmisi lapan kelajuan. Ya, diulangi 8 kelajuan. Tetapi sebenarnya, selepas gear enam, penulis tidak tahu untuk pecutan bagaimana lagi bila sudah mencecah 210 km sejam. Namun, ia difahamkan bagi nisbah gear yang menjana kuasa kilas memenuhi had cengkaman tayar pada gear rendah namun, masih mengekalkan kesenyapan dan penjimatan bahan api pada gear tinggi.
Ciri terbaru pada LS 460 iaitu Sistem Nisbah Gear Berubah-ubah (VGRS) yang berfungsi bersama dengan sistem Pengurusan Bersepadu Dinamik Kenderaan (VDIM) bagi menjana kuasa kilas kemudi bagi keadaan pemanduan yang berbeza-beza. Ini sangat berguna terutama semasa memecut kerana pemandu akan memiliki kawalan kemudi yang lebih baik.
Baru-baru ini, VGRS menjadi fokus siasatan pihak berkuasa pengangkutan jalan Amerika Syarikat. Dalam konteks ini, Lexus Malaysia memberi jaminan untuk melakukan proses pembetulan dengan segera. Setakat Mei lalu, terdapat kurang daripada 10 unit LS 460 L dan 460 Sports yang terbabit dalam proses pembetulan tersebut.
‘‘Bagi pelanggan yang sudah menempah LS 460L atau LS460 Sport atau berminat untuk memilikinya, Lexus Malaysia memberi jaminan bahawa semua model berkenaan akan melalui proses pembetulan sebelum diserahkan kepada pelanggan,” kata Pengurus Hal Ehwal Luar, Bahagian Pemasaran UMW Toyota Motor, Zulkefli Mohamed yang mewakili entiti pemegang francais Lexus di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: