|
|
CLUB Med sudah 30 tahun bertapak di negara ini. Tetapi kewujudannya seperti masih asing kepada rakyat negara ini. Jarang-jarang kita mendengar kisahnya. Jika ada pun hanya sesekali diceritakan oleh mereka yang pernah ke sana.
Bukan kerana ia tidak popular atau pelancong terutama warga tempatan tidak gemar ke sana. Tetapi sebenarnya hanya segelintir sahaja yang berpeluang menjejakkan kaki ke resort percutian mewah itu.
Itulah nilai eksklusif yang dimiliki oleh Club Med - resort yang dikelilingi hutan rimba dan pantai bersih memutih. Tanda harganya pula sudah tentu jauh lebih tinggi berbanding resort-resort ternama di negara ini.
Suatu ketika dahulu, khabar angin mengatakan resort itu dikhaskan untuk tetamu-tetamu tertentu sahaja. Tetapi realitinya tidak. Tiada sempadan status atau darjat untuk seseorang menikmati kemewahan di Club Med, asalkan sanggup berbelanja.
Selepas kunjungan bersama kumpulan media antarabangsa ke resort itu baru-baru ini, memberikan kesimpulan tersendiri tentang resort percutian persendirian di Pantai Cherating, Pahang itu.
Pertama, jangan sesekali datang ke Club Med jika anda hanya inginkan percutian bajet.
Ibarat peri bahasa alah membeli menang memakai, resort mewah itu menawarkan peluang terbaik untuk menikmati percutian peribadi, yang tidak diganggu. Ini merupakan tempat yang sesuai untuk meluangkan cuti berdua-duaan dengan insan tersayang. Ia cukup bernilai terutama untuk sambutan hari ulang tahun atau berbulan madu.
Pendek kata, Club Med Cherating memiliki segala apa yang dimiliki oleh resort-resort lain di negara ini. Pantainya putih mulus dihiasi barisan pokok kelapa yang ditatang manja.
Mereka bukan tetamu tidak dibenarkan memasuki kawasan pantainya.
Bahkan permukaan pasirnya dikemas rapi sepanjang masa.
Ia tidak sesekali dapat dibandingkan dengan pantai-pantai percutian awam lain.
Malah pantai Club Med lebih bersih daripada pantai-pantai di pulau.
Sejak pembinaannya, ia menjadi aset paling berharga dan tarikan utama pengunjung ke Club Med.
Namun, keindahan resort itu bukan hanya pada pantai persendirian. Perasaan damai ketika menginap juga dipengaruhi kehijauan alam semula jadi yang mengelilingi bilik penginapan.
Di penjuru laman dan laluan jalan kaki, hiasan tumbuhan bunga seperti cempaka menambahkan lagi aroma kemewahan.
Saiznya mungkin lebih kecil berbanding bilik hotel moden tetapi sebaik sahaja anda membuka jendela, panorama diperluas jauh sehingga ke kaki langit.
Satu perkara yang sering diingatkan, percutian di resort yang terlindung di dalam rimba itu turut 'dikongsi' bersama beberapa spesies haiwan seperti monyet, tupai dan biawak. Sebagai pesanan, pastikan semua tingkap ditutup sebelum meninggalkan bilik.
Dengan kemewahan yang tersedia, mungkin harga untuk menginap di Club Med sudah mula terbayang. Tiga kategori bilik yang ditawarkan di Club Med adalah superior, deluxe dan suite.
Namun tidak seperti resort lain, harga penginapan dikira mengikut bilangan kepala dan waktu penginapan sama ada pada hari cuti atau hari biasa.
Misalnya, harga untuk penginapan seorang tetamu di dalam bilik superior pada hujung minggu adalah RM640 dan RM720 pada waktu puncak.
Mahal? Itulah harga yang perlu dibayar untuk menginap di resort persendirian, di mana segalanya 'bebas'. Bebas memilih cara tersendiri untuk menghabiskan masa percutian.
Apa yang menjadikan percutian di Club Med lebih berbaloi semestinya Restoran Mutiara yang menawarkan pelbagai pilihan makanan seperti Melayu, Jepun, Cina, India dan Inggeris dengan lambakan buah-buahan berwarna-warni.
Kehadiran tetamu di restoran juga selesa tanpa sesiapa meminta baucer makan atau bertanyakan nombor bilik.
Yang pasti, pilihan udang kara, tiram, sushi, steambot, piza, steak dan tandoori yang dihidang pasti membuatkan tetamu menilai semula harga yang dibayar untuk berada di Club Med. Berbaloi kerana ada masanya kita berhak mendapat layanan terbaik. Layari www.clubmed.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: