Thursday, June 24, 2010

Legenda hiburan yang terus ‘hidup’

SELAIN Michael Jackson, dunia hiburan dipenuhi dengan ikon yang telah pergi tetapi pernah meninggalkan impak besar terhadap industri seni. Nama-nama seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Marilyn Monroe atau Leslie Cheung misalnya adalah sebahagian daripada permata seni yang pergi meninggalkan kita dengan segudang sumbangan dan memori yang tidak akan berganti. Kosmo! menyenaraikan betapa ikonik dan sinonimnya tiga lagi mutiara seni iaitu Elvis Presley, Allahyarham P.Ramlee dan Anita Mui kepada dunia seni.


Tan Sri P.Ramlee


Nama penuh: Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh

Nama komersial: Tan Sri P.Ramlee

Tarikh lahir: 22 Mac 1929

Tarikh meninggal: 29 Mei 1973 (44 tahun)

Punca kematian: Masalah jantung

LEGENDA industri perfileman Melayu ini menonjol sebagai aktor, pengarah, penyanyi dan juga penulis lagu. Allahyarham P.Ramlee mula berkecimpung dalam dunia muzik semasa belajar di Penang Free School dan berlakon apabila bakatnya dikesan oleh pengarah filem Tamil, B.S Rajhans.

Lakonan pertamanya, Chinta diterbitkan pada tahun 1948 dengan memegang watak penjahat, karier Allahyarham mula berkembang apabila terlibat dalam 27 buah filem dari tahun 1948 dan 1955. Filem terakhir lakonan Allahyarham adalah Laksamana Do Re Mi (1972) dan lirik terakhir tulisannya, Ayer Mata Di Kuala Lumpur (1973).

Mengarah dan berlakon dalam 66 buah filem, dia pernah menggubah dan menulis lebih 360 buah lagu. Banyak filem popular termasuk Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Ibu Mertua Ku, Laksamana Do Re Mi, Madu Tiga, Tiga Abdul, Anak Bapak, Keluarga 69, Ali Baba Bujang Lapok, Penarik Becha dan banyak lagi masih ditayang di kaca TV sehingga kini.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 1990.

Pada tahun 1986, rumah terakhirnya di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai untuk dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P Ramlee. Namanya juga diabadikan untuk salah sebatang jalan di Kuala Lumpur. Sempena sambutan ulangtahun ke-50 kemerdekaan Malaysia, P.Ramlee juga terpilih sebagai 10 calon akhir program Anak Gemilang Malaysia.


Anita Mui Yim Fong


Nama penuh: Anita Mui Yim Fong

Tarikh lahir: 10 Oktober 1963

Tarikh meninggal: 30 Disember 2003 (40 tahun)

Punca kematian: Kanser rahim

MEMBERI pengaruh kuat kepada industri kanto-pop di Asia, Anita digelar sebagai Madonna Asia oleh media Barat. Popular kerana kostum pelik dan juga persembahan bertenaga, Anita mampu menjadi tarikan selama 20 tahun tempoh kariernya.

Sungguhpun meninggal pada usia muda, muzik dan legasi filemnya masih berterusan. Mengetahui dirinya tidak dapat sembuh, penghibur itu mengadakan beberapa persembahan terakhir, Anita Classic Moment Live Concert. Persembahan itu merangkumi lapan konsert dan berlangsung di Coliseum, Hong Kong pada tahun 2003.

Ribuan peminat menghadiri upacara pengkebumiannya di North Point, Hong Kong pada Januari 2004. Sepanjang kariernya, Anita turut menjadi mangsa media. Selain didakwa mengambil dadah, melakukan pembedahan plastik, cubaan membunuh diri serta dikaitkan dengan kematian ketua kongsi gelap, Anita juga digosipkan mempunyai hubungan sulit dengan beberapa aktor.

Pada tahun 2007, sebuah siri TV sebanyak 42 episod diterbitkan di China dengan judul Anita Mui Fei yang menceritakan kisah hidup penyanyi ikonik itu. Selain daripada China, stesen televisyen Hong Kong, TVB, turut menerbitkan sebuah program, Our Anita Mui pada 11 Oktober, 2008.


Elvis Aaron Presley


Nama penuh: Elvis Aaron Presley

Tarikh lahir: 8 Januari 1935

Tarikh meninggal: 16 Ogos, 1977 (42 tahun)

Punca kematian: Dadah

DIGELAR Raja Rock n Roll, Elvis Presley yang memulakan karier pada tahun 1954 menjadi fenomena bukan sahaja kerana vokal tetapi kerana stail persembahan dan penampilannya. Dilabelkan sebagai salah seorang figura penting dalam budaya pop kurun ke-20, vokalnya yang versatil menjadikan dia artis solo paling laris dalam sejarah muzik pop.

Mengalami nasib yang hampir sama dengan Michael, momen-momen akhir Elvis juga dikaburi dengan pelbagai kontroversi dan berita-berita negatif. Selain tidak lagi mampu beraksi di atas pentas, tahap kesihatan Elvis juga merudum akibat penggunaan dadah secara berlebihan.

Ribuan peminat berkumpul di luar Graceland semasa kematian Elvis. Hampir 80,000 peminat berbaris sehingga ke tanah perkuburan Forest Hill di mana Elvis dikebumikan bersebelahan dengan ibunya. Populariti Elvis telah membuatkan mayatnya hampir dicuri. Disebabkan itu, mayat Elvis dengan ibunya dikebumikan di Meditation Garden, Graceland.

Di antara tahun 1977 dan 1981, enam single Elvis dipasarkan dan menjadi lagu hit. Graceland secara rasmi dibuka kepada umum pada tahun 1982 dan telah menarik perhatian seramai setengah juta peminat setahun. Ia merupakan rumah kedua paling kerap dilawati di Amerika Syarikat (AS) selepas White House.

Lagu-lagu milik Elvis masih lagi menjadi kegilaan ramai. Selama 15 tahun berturut-turut, Forbes telah menamakan Elvis sebagai selebriti meninggal dunia yang paling kaya dengan keuntungan tahunan sebanyak AS$45 juta. Namun, pada tahun 2009, Elvis berada di tangga keempat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: