Thursday, June 24, 2010

Kematian MJ: Setahun kemudian




KEHILANGANNYA boleh ditafsirkan seolah gabungan kematian Elvis Presley yang ditambah dengan pembunuhan John Lennon serta Kurt Cobain yang meninggal akibat membunuh diri. Itu definasi kesedihan dan kejutan impak daripada kematian penyanyi legenda Michael Jackson pada 25 Jun tahun lalu.

Gelombang kejutan itu tidak hanya dirasai dalam industri hiburan. Mereka yang mengenalinya secara dekat tahu Michael tidak akan meninggal pada usia lewat. Namun, secara umumnya, dunia terkejut apabila Raja Pop itu menghembus nafas terakhir pada usia 50 tahun.

Esok, genap pemergian Micheal selama setahun. Sepanjang jangkamasa itu, banyak perkara yang berlaku termasuk pergaduhan antara ahli keluarga serta kes undang-undang yang tiada penghujung. Namun, apa yang utama, dalam masa setahun itu, peminatnya masih merasai kehilangannya.

Pelbagai acara penghormatan telah dirancang sempena memperingati tahun pertama kematian legenda muzik ini. Difahamkan peminatnya dibenarkan untuk melawat makam Michael di Forest Lawn Memorial Park.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak Forest Lawn bagi memastikan aspek keselamatan bagi mereka yang mahu memberi penghormatan kepada Michael," kata Sarjan Polis, Tom Lorenz.

Mungkin ada peminat yang tidak dapat menghadirkan diri ke Los Angeles tetapi mereka berkumpul di laman sosial Facebook. Kumpulan peminatnya telah meminta ahlinya untuk menyalakan lilin pada 25 Jun 2010 bagi mengingati legenda itu.


WAJAH dan aksi terakhir Michael sebelum kematiannya dapat disaksikan dalam This Is It.


"Selain daripada aktiviti yang dilakukan oleh peminatnya di seluruh dunia, keluarga Michael juga merancang satu acara Forever Michael yang tiketnya dijual pada harga AS$150 sehingga AS$1400. Acara peringatan itu akan diadakan di Hotel Hilton Beverly Hills pada 26 Jun ini.

"Kutipan wang tiket itu adalah untuk tabung amal keluarga Michael di samping mahu mengumpul ahli keluarga, selebriti, peminat, penyokong serta komuniti yang menyanjungi legasinya," kata satu sumber.

Ayahnya, Joseph Walter 'Joe' Jackson, baru-baru ini juga mengumumkan bahawa mereka akan membina sebuah pusat persembahan seni Jackson dan muzium di Gary, Indiana bernilai AS$300 juta.

Pusat seluas 121 hektar akan meletakkan dokumen sejarah keluarga Michael, penginapan, penempatan, pusat persidangan, studio televisyen, dewan konsert, teater filem, kelab malam, kedai barangan, restoran dan padang golf.

Penanda budaya pop

Pemergian ikon popular itu telah membuatkan kita mengingati betapa berbakatnya figura tersebut. Muzik Michael adalah teman setia bagi hampir seluruh manusia yang membesar bersamanya. Muziknya membuatkan pendengar leka tanpa memikirkan warna kulit penyanyi.

Dilihat dari sudut sosial, Michael telah memecahkan segala sempadan. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44, Barack Obama mungkin tidak akan dipilih sebagai pemerintah jika bukan kerana Michael.


PEMINAT Michael di seluruh dunia berkabung atas kematiannya pada 25 Jun tahun lalu.


Dia telah membuatkan masyarakat AS menerima orang Afrika Amerika. Apa yang lebih penting, Michael telah memecah tradisi saluran MTV yang mengharamkan sebarang penayangan klip video artis Afrika Amerika. Dengan penerbitan album Thriller, adalah mustahil untuk MTV kekal kukuh kepada prinsip mereka.

Dinding itu dipecah yang membolehkan kita melihat artis seperti Prince, Usher, John Legend hinggakan Chris Brown di saluran tersebut. Penyanyi seperti Madonna, Justin Timberlake, Britney Spears dan Christina Aguilera menjadikan Michael sebagai idola mereka.

Apa yang orang ingat adalah namanya. Jenama Michael Jackson bagai telah membayangi muziknya terutama dengan kisah peribadinya. Perjalanan hidup Michael tidak indah.

Dia berdepan polemik prejudis perkauman semasa kecil apabila keluarganya tidak dapat menetap di sesetengah hotel semasa mereka menjalankan konsert jelajah.

Ketika berusia lapan tahun, Michael sudah perlu bekerja keras tanpa mempunyai peluang untuk menikmati zaman kanak-kanaknya. Maka, dia menghabiskan zaman dewasanya dengan menaiki roller coaster dan menyaksikan kartun Disney.

Kemudian pada usia 47 tahun, dia muncul di mahkamah dengan berpakaian baju tidur untuk kes pencabulan kanak-kanak. Kisah hidup peribadi serta kritikan negatif terhadap Michael sedikit sebanyak mempengaruhi kariernya.


ANTARA babak latihan tarian dan persembahan Michael sempena konsert This Is It yang sepatutnya berlangsung sebelum kematiannya kini diabadikan dalam filem dokumentari This Is It.


Turut digelar penghibur sepanjang masa, sumbangannya kepada dunia muzik, tarian dan fesyen membuatkan dia menjadi ikon budaya pop selama empat dekad ini.

Mungkin berita buruknya membuatkan ramai melupakan seketika bakatnya. Namun, kehilangan permata itu setahun lalu membuatkan kita mengingati semula pengaruh serta impak yang disalurkan menerusi setiap lagu dendangannya.

Seperti kata Michael dalam satu temu bual pada tahun 2007: "Muzik adalah ekspresi saya, hadiah saya kepada semua pencinta di dunia ini. Menerusi muzik, saya tahu saya akan hidup selama-lamanya di hati peminat saya."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: