Wednesday, June 2, 2010

Lagenda Budak Setan kembalikan sisi gemilang Ahadiat Akashah



Pengadaptasian sesebuah cerita itu daripada novel ke filem bukan hanya terjadi dalam industri perfileman di Malaysia. Malah sudah lama dan jauh ditinggalkan oleh industri perfileman luar negara. Rata-rata menggunakan kaedah ini agar sesebuah filem yang diterbitkan itu muncul sebagai salah sebuah filem box-office.

Kadangkala segelintir dari filem yang wujud diadaptasi daripada penulisan novel ada baiknya. Ini kerana karya yang dihasilkan melalui novel rata-rata mempunyai jalan cerita begitu menerujakan.

Dengan itu, kalau dulu pembaca bermain dengan imiginasi, sekarang ini tambah menarik kerana dapat melihat sendiri visualnya yang penuh dengan senimatografi yang semakin hari semakin berlumba-lumba untuk memaparkan pada tahap paling menarik.

Setakat ini filem terbaik di Malaysia yang terakhir diangkat daripada naskah novel berjudul “Jogho” arahan Uwei Saari yang diterbitkan pada 1997.

Kalau di zaman dulu filem ini yang penuh dengan makna yang begitu mendalam turut diterima ramai, apatah lagi filem sekarang yang lebih moden dan berpaksikan cinta maka bertambah-tambahlah sambutannya.

Seperti yang sudah didengari perkhabaran beberapa minggu lepas, kini lahir pula sebuah lagi filem yang sungguh unik lagi menarik, Lagenda Budak Setan.

Filem yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam berdekatan bermula 3 Jun 2010 merupakan hasil daripada penulisan karyawan masyur Ahadiat Akashah yang mana satu ketika dulu menjadi bahan bacaan cukup popular di kalangan remaja khasnya.

Suatu masa di era 90an, agak sukar untuk mencari siapa gerangan remaja yang tidak membaca novel ini dan mengikuti beberapa siri Budak Setan yang diterbitkan.

Bagi yang seangkatan dengan karya novel, apabila sudah difilemkan rasanya ramai yang tidak sabar untuk menyaksikannya dipancarkan di layar perak.

Filem yang bakal menempa sejarah ini telah dipertanggungjawabkan untuk diterbit sekaligus diarahkan oleh pengarah dari India, Sharat Sharan manakala skripnya sudah pastilah penulis novel itu sendiri, Ahadiat Akashah.

Filem terbitan Astro Shaw Sdn Bhd dengan kerjasama Nusantara Films & Tarantella Pictures ini menjanjikan apa yang difilemkan hampir sama dengan apa yang pernah dibaca sebelum ini. Pendek kata filem Lagenda Budak Setan menghimpunkan semula nilai dan karektor yang hidup dalam novel-novel keluaran di bawah judul Budak Setan.

Sebelum menyaksikannya pasti sudah ada yang dapat meneka kisahnya banyak berkisarkan ke arah kenakalan pelajar.

Jadi menerusi filem ini semua plot-plot lucu, nakal, sedih dan cinta tidak akan ditinggalkan sama sekali.

Oleh kerana inginkan filem setaraf dengan larisnya novel-novel ini di pasaran seperti satu ketika dulu, penerbit serta pengarah filem menjananya dengan penuh teliti bagi menghasilkan kualiti yang jauh lebih mantap.

Jika dilihat kepada proses pembikinannya, ianya tidak jauh beza, Cuma dalam mengadaptasi ia ada beberapa proses khusus yang perlu dilakukan.

Segala catatan serta pindaan perlu dilakukan, dengan itu filem ini telah membawa seorang penulis lakon layar terkenal dari Indonesia, Armantono untuk membantu mengkaji segenap aspek novel itu sebelum difilemkan.

Tempoh lebih kurang dua bulan telah diambil untuk menyelesaikan pencarian di mana jalan ceritanya lebih nyata dan konfliknya agak melankolik dengan kisah percintaan yang disulam dengan emosi dan tragis.

Dengan itu, pendekatan kekuatan sinematografi amat penting hinggakan pihak produksi tidak teragak-agak memilih seorang sinamatografi dari England, Mike Muschamps untuk menzahirkan kepakarannya.

Lagenda Budak Setan ini yang telah menggunakan format filem 35mm serta rakaman audionya secara terus bagi mendapatkan bunyian yang lebih realistik. Ia telah berjaya diselesaikan dalam masa lebih kurang 33 hari sahaja.

Proses penggambarannya yang bermula pada Mei tahun lepas di mana lokasi pertamanya adalah di padang ragut Universiti Pertanian Malaysia, Serdang, Nothingham College & University, Semenyeh, Selangor , Pekan Kuah Tanjung Rhu, Geo Park, Hutan Rimba Sungai Kilim, Gua Kelawar, Pantai Kok, Pantai Chenang dan beberapa tempat menarik lagi sekitar Langkawi.

Filem Lagenda budak Setan mengetengahkan soal cinta yang tidak mudah untuk diertikan lahir daripada kisah remaja hingga dewasa yang begitu menyayat hati.

Menarik sekali jalan ceritanya apabila seorang lelaki yang kononnya anti perempuan berubah menjadi seorang pencinta agung dan begitu setia pada cinta yang satu.

Bagi penerapan watak agar kelihatan lebih sesuai, pemilihan pelakon amat penting. Dengan itu, Farid Kamil dan Lisa Surihani berjaya dipilih sebagai penerajunya. Selain itu, watak-watak lain dipegang oleh Shiqin Kamal, Que Haidar, Nur Fazura, Raja Farah, Sheila Mambo, Nubhan AF5, Syed Nabil (Anak Wayang) serta Zoey Rahman.

Sementara itu, tidak ketinggalan di mana Fauziah Ahmad Daud dilantik untuk melatih, membentuk karektor lakonan serta mempersiapkan penghayatan dan perwatakan barisan pelakon supaya mampu mencantikkan filem ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: