|
|
LAZIMNYA, gaun pengantin yang dipakai ketika meraikan hari bersejarah oleh pasangan mempelai akan disimpan untuk dijadikan kenangan.
Selain kerana nilai sentimental, ia juga merupakan satu kenangan seumur hidup ketika disatukan bersama insan yang disayangi.
Bagaimanapun ada juga pasangan pengantin yang rela ‘melenyapkan’ terus koleksi kenangan tersebut menerusi satu aliran fotografi yang lain daripada lain.
Itu pembaharuan yang dibawa oleh jurugambar profesional, Edmund Tham Kok Mun, 30. Dia menampilkan konsep terus buang atau istilah yang digunakan Trash the Dress yang berasal dari Amerika Syarikat (AS).
Menurut Edmund, dia mengambil idea yang dicetuskan di AS itu untuk mencipta konsepnya sendiri di Malaysia.
Melalui konsep itu katanya, pengantin yang sudah meraikan majlis perkahwinan masing-masing dan tidak berminat untuk menyimpan gaun persandingan mereka bertindak melupuskan dengan cara tersendiri.
‘‘Untuk itu jurugambar di sana telah tampil dengan konsep ini yang secara langsung akan merosakkan baju pengantin tersebut,’’ katanya.
Bagaimanapun, menurut Edmund, teori Trash the Dress yang diperkenalkannya tidak semestinya merosakkan baju pengantin itu menerusi pendekatan yang diambil.
‘‘Walaupun ia dinamakan Trash the Dress ia tidak semestinya ‘dihapuskan’ atau ‘dirosakkan’ malah ia boleh dicuci semula dan kemudian simpan untuk dijadikan kenangan,’’ ujarnya ketika ditemui di E Gallery miliknya di Damansara Perdana, baru-baru ini.
Tambahnya, konsep tersebut tidak terhad pada baju pengantin. Malah ia boleh juga digunakan untuk pelbagai jenis baju dan barangan kesayangan lain.
Konsep tersebut juga sebenarnya bergantung kepada kehendak dan permintaan pengantin itu sendiri dan ia akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh jurugambar yang dipertanggungjawabkan.
Mungkin ramai masih tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan konsep Trash the Dress.
Mereka yang memilih konsep ini harus bersedia untuk mengotorkan pakaian pengantin atau barang kesayangan.
Matlamatnya untuk memberikan keunikan tersendiri dalam mengabadikan kenangan istimewa dalam hidup pasangan itu.
Pelbagai cara akan digunakan untuk merakamkan saat romantik mereka seperti dalam kolam renang, di bawah pancutan air, melumurkan gaun pengantin dengan ais krim, lumpur, minyak dan sebagainya.
Malah ada yang sanggup mengoyakkan serta membakar baju pengantin demi mencari keunikan.
Sebab itu ia dinamakan Trash the Dress
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: