BAGAI sirih pulang ke gagang apabila dua ikon dalam bidang peragaan, Datuk Anna Lim dan Amber Chia berganding bahu mengadakan bengkel Kecantikan dan Fesyen pada 7 dan 8 Ogos ini di Hotel Hilton, Petaling Jaya.
Anna ialah bekas Ratu Universe Malaysia 1990 dan Mrs Malaysia/World 2004 manakala Amber pula ialah model bertaraf antarabangsa.
Kedua-dua personaliti terkenal itu akan berkongsi dengan para peserta bengkel tersebut tentang cara-cara untuk menemui, menyerlahkan dan memaksimumkan kecantikan dalaman dan luaran mereka.
Segala tips kecantikan dan peragaan adalah hasil pengalaman bertahun-tahun mereka berdua dalam bidang kepakaran masing-masing.
Amber dan Anna akan membimbing para peserta untuk memahami serta mengaplikasikan teknik-teknik kecantikan.
"Sekarang para peserta dapat mempelajari dengan cepat dan berkesan melalui Beauty @ Fashion Studio!" kata Amber dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Bengkel dua hari itu turut melibatkan pembentang terkenal seperti Daphne Iking (hos televisyen, pengacara dan kolumnis), Dr. Victor Chen (pakar penjagaan kulit dan kesihatan), Ben Ibrahim (hos televisyen, pengacara dan penulis), Shawn Loong (penggaya rambut), Thomas Guldimann (pakar wain) dan Datin Josephine Fonseka (ratu cantik).
Lain-lain pembentang termasuk Kee Hua Chee (wartawan selebriti), Nazimah Ali (perunding industri perhotelan dan perkhidmatan), Melanie Joanne Xavier (pelatih industri perhotelan dan perkhidmatan) dan Charlene Wong (pengacara majlis).
Sementara itu, Anna percaya setiap wanita mempunyai kecantikan semula jadi yang tersendiri.
Berbekalkan teknik yang dipercayai dan terbukti, katanya, seorang wanita boleh menyerlahkan keyakinan diri serta kecantikan.
Untuk maklumat lanjut, layari www.beautyfashionstudio.info.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: