Thursday, June 17, 2010

Khidmat bakti seorang puteri!


Normala Hamzah dan Mohd. Farizwan Hasbullah sempat bergambar kenangan bersama Tunku Puteri Intan Safinaz.


PADA 24 Mei lalu, saya menerima panggilan telefon daripada Wan Muazam Ismail, Pengurus Perhubungan Awam Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) memaklumkan YTM Tunku Puteri Intan Safinaz,

Puteri KBDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Kedah memperkenan saya menghadap dan menemuramahnya sempena majlis penganugerahan pangkat kepada Tunku Puteri yang berlangsung pada 26 Mei lalu di Istana Anak Bukit.

Bagaikan orang mengantuk disurungkan bantal, pelawaan itu tentunya tidak akan saya tolak begitu sahaja, biarpun berdepan dengan dateline yang hampir tenat. Usai majlis pelancaran majalah i-Sihat pada 25 Mei, saya terbang ke Alor Setar ditemani jurugambar, Mohd. Faridzwan Hasbullah.

Sebelum ini saya telah beberapa kali menemu ramah Tunku Puteri Intan Safinaz untuk Mingguan Malaysia, Mega, Utusan Malaysia semasa saya bertugas di kedua-dua unit tersebut dan tentunya juga untuk majalah nombor satu wanita Malaysia, WANITA.

Kali akhir saya menemu ramah Tunku Puteri lebih kurang enam tahun lalu di mana Tunku Puteri banyak berkongsi cerita mengenai perancangannya untuk memantapkan YSB yang ditinggalkan Almarhum bondanya, Sultanah Bahiyah.

Selain itu, kami kerap bertemu pada majlis-majlis rasmi yang dihadiri Tunku Puteri Intan Safinaz kebanyakannya membabitkan majlis amal YSB sama ada di Kuala Lumpur atau di Alor Setar.

Namun pertemuan kali ini berlainan sama sekali kerana tugasan ini sempena pengiktirafan yang diberi kepada seorang puteri raja yang telah mengangkat martabat wanita Malaysia.

Tunku Puteri Intan Safinaz dianugerahkan pangkat Brigadier Jeneral kerana khidmat baktinya di dalam Askar Wataniah negeri Kedah Darul Aman.

Saat manis itu lebih bermakna apabila pangkat itu disematkan sendiri oleh Ayahanda Tunku Puteri, KBDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Tuanku Sultan Kedah.

Majlis berlangsung di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Turut berangkat, Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.

Sebagai anak jati Kedah tentunya saya amat bangga puteri kesayangan rakyat Kedah diberi pengiktirafan yang tinggi di dalam bidang ketenteraan.

Sebagai wanita pula tentunya kebanggaan saya berganda kerana Tunku Puteri Intan Safinaz telah mengangkat martabat wanita negara ini dalam bidang ketenteraan. Tahniah dan syabas Tunku Puteri! Askar wataniah adalah satu kerjaya sukarela yang memerlukan ketelusan dan keikhlasan hati untuk melaksanakannya. Dan perkara ini terlihat jelas pada komitmen yang telah dicurahkan oleh Tunku Puteri.

Tuanku Puteri Intan Safinaz dikenali sebagai puteri raja yang prihatin dan mendahulukan rakyat negeri Kedah khasnya wanita dan kanak-kanak dalam apa juga perkara. Sikapnya itu dilihat daripada kerja amal dan khidmat baktinya membangunkan rakyat negeri Kedah khasnya mereka yang tinggal di kawasan kampung melalui YSB.

Sebut sahaja di mana, jika terdengar ada yang ditimpa malang dan menghadapi kesusahan pasti Tuanku Puteri akan turun padang bertanya khabar dan menghulurkan bantuan.

Sejam berbual dengan Tunku Puteri banyak yang cerita yang dikongsi. Saya amat kagum dengan komitmen yang diberikan Tunku Puteri terhadap Askar Wataniah yang dipimpinnya.

Bukan mudah untuk Tunku Puteri sampai ke tahap ini dan menjalani latihan lasak untuk melayakkan Tunku Puteri menerima pelbagai pangkat di dalam Askar Wataniah itu.

Menolak ke tepi statusnya sebagai puteri raja, Tunku Puteri melalui kesemua jenis latihan yang ditetapkan termasuk membaca lebih 40 modul elemen ketenteraan dan melakukan latihan lasak seperti merentas desa, belajar menembak, membaca peta serta paling mencabar bagaimana untuk survival semasa di hutan.

"Jika tidak buat, kita tidak tahu bagaimana susahnya untuk menjadi askar. Ia mengajar kita menjadi lebih berdisiplin. Saya gembira dan bersyukur kerana berjaya melepasi semua rintangan itu dan bersedia untuk dikerah ke mana sahaja,'' antara kata-kata Tunku Puteri yang melekat di ingatan saya.

Lalu teringat saya ketika zaman persekolahan dulu, Tunku Puteri yang ketika itu sangat comel dan cergas sering dibawa oleh Ayahanda dan Almarhum bondanya menghadiri majlis ucapan di Sekolah Menengah Sultanah Asma (SAS) di mana saya belajar.

Setiap tahun saya berusaha untuk mencapai kejayaan supaya dapat naik ke pentas menerima hadiah daripada Almarhum Sultanah Bahiyah.

Terpandang wajah Tunku Puteri, kenangan manis itu menjelma semula. Tidak berbeza, kelembutan dan keramahan Tunku Puteri sama seperti Almarhum bondanya Sultanah Bahiyah yang kekal di ingatan rakyat Kedah sampai kini. Tutur kata, senyuman dan gelak ketawanya menjadikan suasana lebih selesa untuk saya berbual dan bertukar-tukar pendapat.

Banyak lagi yang Tunku Puteri luahkan dalam pertemuan kami itu. Semuanya saya himpunkan untuk tatapan pembaca di dalam majalah WANITA keluarga Julai 2010 yang kini telah berada di pasaran dengan penghias muka depannya adalah Tunku Puteri Intan Safinaz, puteri raja berjiwa waja.

Menjunjung kasih Tunku Puteri!

Salam,

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: