Monday, June 14, 2010

Kes Badrul Muhayat Disebut Semula 28 Jun

Badrul Muhayat diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin

KUALA LUMPUR: Kes pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, yang menghadapi dua pertuduhan mencederakan isterinya, akan disebut semula di Mahkamah Majistret Ampang di sini, 28 Jun ini.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas dimaklum oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Husnita Mohd Radzi bahawa pendakwaan belum memperoleh kertas siasatan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mengetahui sama ada pertuduhan kedua terhadap pelakon itu perlu dipinda.

Nor Husnita berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang arahan berkaitan pindaan bagi pertuduhan kedua itu.

Pada 6 April lalu, Badrul Muhayat, 42, yang diwakili peguam Abdul Rashid Tasin mengaku tidak bersalah menumbuk muka dan menendang perut Julia Daud, 29, di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, Hulu Langat, pada 7 pagi, 24 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memukul punggung dan kaki Julia dengan batang penyapu pada waktu dan di tempat yang sama. Pelakon tersebut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Badrul Muhayat diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: