Monday, June 14, 2010

Bicara Kes Cerai Anne 21 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 21 Jun sebagai tarikh perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai pelakon, Anne Ngasri (gambar) dan suaminya, Abdul Wafi Hassan.

Hakim Syarie, Saiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh itu setelah peguam syarie Hamidullah Che Hassan yang mewakili defendan, Abdul Wafi, 28, memohon tarikh baru untuk perbicaraan kes tersebut.

Permohonan pengesahan lafaz cerai telah difailkan oleh Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, selaku plaintif terhadap defendan pada 16 April lalu.

Hamidullah ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu penyata pembelaan telah difailkan hari ini dan mahkamah telah menetapkan tarikh baru untuk perbicaraan.

"Penyata pembelaan difailkan hari ini dan tiada sebarang tuntutan balas daripada plantif. Tarikh bicara telah ditetapkan pada 21 Jun ini, di sini pada pukul 9 pagi," jelasnya.

Anne yang tidak diwakili peguam syarie hadir ke mahkamah dengan ditemani keluarganya sementara Abdul Wafi pula ditemani rakan-rakannya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka enggan memberikan sebarang komen ketika dihampiri pihak media.

Pasangan itu bernikah pada 26 Mei 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Abdul Warits, 2, dan Abdul Wafri yang berusia empat bulan.

Difahamkan mereka tinggal berasingan sejak 25 Mac lalu selepas lafaz cerai itu dibuat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: