
TIADA yang lebih bermakna apabila musim cuti sekolah dimanfaatkan kanak-kanak dengan membaca. Sementelah mengikut statistik, kadar budaya membaca di Malaysia dianggap antara yang paling lemah berbanding negara lain seperti negara di Eropah.
Namun inisiatif yang diambil oleh Mines Event Management Sdn. Bhd. dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan serta akhbar Kosmo! adalah antara media rasmi menerusi kempen Read Malaysia '10 dilihat mampu menjadi pemangkin kepada budaya membaca di Malaysia, terutama untuk kanak-kanak.
Malah pameran buku yang mengangkat Aznil Haji Nawawi sebagai duta itu juga dijalankan pada waktu yang tepat - cuti sekolah.
![]() |
| |
Selain menyediakan pelbagai jenis buku bacaan dalam pameran yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia, Mines Resort City di Seri Kembangan, Selangor sehingga Ahad lalu, kempen tersebut dimeriahkan dengan penyertaan beberapa artis tempayan.
Mereka termasuklah Aizat, Zoey, Akim AF dan Liyana Jasmay yang sudi meluangkan masa menyokong kempen tersebut.
Bagi Aizat, dia menyokong Pameran Buku Read Malaysia '10 kerana bimbang jika program seumpama itu tidak diamalkan satu masa kelak anak-anak zaman akan datang tidak mengenal buku.
Katanya, apa yang lebih membimbangkan buku akan menjadi sejarah dan hanya boleh untuk dilihat ketika di muzium sahaja.
"Saya bimbang buku-buku akan pupus satu hari nanti tambahan pula sekarang ini ada macam-macam gajet canggih seperti Ipad dan Iphone.
"Saya rasa untuk mengelak perkara itu daripada terjadi kita seharusnya menghargai buku," katanya yang popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu.
Kehadiran Aizat di pameran buku itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti membaca buku bersama pelawat cilik, bersajak dan lain lain lagi.

Kata pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia ke-7 (AF7), Akim, dia teruja ketika mendapat peluang untuk muncul pada acara Read Malaysia '10 kali ini.
"Apatah lagi acara ini pula berkaitan dengan ilmu dan ini juga peluang terbaik untuk golongan ibu bapa membawa anak-anak terutama kanak-kanak tadika dan prasekolah, kerana ada pelbagai jenis buku untuk mereka," jelasnya.
Sama seperti Akim, Liyana Jasmay yang turut tampil di program itu juga teruja kerana dia sememangnya minat dengan buku sejak kecil lagi.
"Ini juga adalah kali pertama saya mengendalikan program seumpama ini. Saya seronok sangat melayan adik-adik kecil itu," katanya yang sukakan kanak-kanak.
Tidak kurang juga pengacara program kanak-kanak terkenal, Zoey, yang menghibur dan melayan kanak-kanak yang hadir.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: