Friday, June 25, 2010

Keluar tunai Debit MasterCard di Giant


Jim Cheah (kiri) mencuba mengeluarkan tunai dengan menggunakan Debit MasterCard Cash Access sambil diperhatikan Anthony Lee (tengah) di kaunter belian Pasar raya Giant Kota Damansara di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Jun - Pelanggan Pasar raya Giant kini boleh membuat transaksi pengeluaran tunai di kaunter belian dengan menggunakan kad Debit MasterCard Cash Access.

Selain boleh digunakan untuk pembayaran secara debit, pelanggan juga boleh membuat pengeluaran tunai dari RM50 hingga RM500 menggunakan kad berkenaan pada satu-satu masa.

Perkhidmatan ini merupakan yang pertama diperkenalkan di rantau ini dan boleh diakses di semua 106 buah rangkaian pasar raya Giant di seluruh negara.

Pengarah Kewangan GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Anthony Lee berkata, untuk permulaan kad berkenaan dikeluarkan oleh tiga buah bank tempatan iaitu CIMB Bank Bhd., EON Bank Bhd. dan UOB Bank Bhd.

Menurutnya, perkhidmatan baru ini memberi kemudahan dan menjimatkan masa pelanggan yang datang membeli belah di pasar raya Giant.

"Mereka tidak perlu lagi beratur di mesin ATM untuk membuat pengeluaran tunai jika berbelanja di sini.

"Mereka boleh membuat dua kerja dalam satu masa iaitu membuat pembayaran dan pengeluaran tunai di kaunter belian sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar Majlis Pelancaran Debit MasterCard Cash Access di pasar raya Giant Kota Damansara, dekat sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Malaysia dan Brunei MasterCard Worldwide, Jim Cheah.

Lee berkata, potensi penggunaan perkhidmatan baru ini dijangka menjadi budaya baru kepada rakyat di negara ini.

Sementara itu, Jim Cheah pula berkata, pelancaran kad debit baru itu bertujuan untuk memberi lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada semua pelanggan setia MasterCard.

Ditanya mengenai jangkaan penggunaan kad berkenaan, Cheah berkata, terlalu awal untuk membuat jangkaan kerana proses pengenalan kepada pelanggan mungkin mengambil sedikit masa.

"Tetapi saya optimis penggunaan kad baru ini akan meluas kerana zaman sekarang menuntut manusia untuk sentiasa bergerak pantas seiring dengan teknologi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: