Friday, June 25, 2010

Bayar dividen tahun depan?


Tony Fernandes (kiri) menjawab soalan pemberita sambil diperhatikan Abdul Aziz Abu Bakar pada sidang media AirAsia di Sepang, semalam.


SEPANG 24 Jun – Selepas lapan tahun beroperasi tanpa polisi dividen, AirAsia Bhd. (AirAsia) bersedia untuk menimbang pembayaran dividen kepada para pemegang sahamnya pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes berkata, kesediaan untuk membuat pertimbangan itu selepas pihaknya memuktamadkan pelan dana bagi perluasan operasinya.

Beliau tidak menolak, pengukuhan prestasi kewangan dan aliran tunainya juga merupakan faktor utama AirAsia bersedia untuk membayar dividen.

‘‘Banyak perkara yang tidak menentu telah berjaya diselesaikan dan AirAsia kini dalam kedudukan terbaik untuk memberi pertimbangan pembayaran dividen,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunannya di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Bukan Eksekutifnya, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Kamarudin Meranun.

Bagaimanapun Fernandes enggan mengulas jumlah dividen yang bakal dipertimbangkan. Jelasnya, AirAsia mahu mengukuhkan aliran tunai untuk meningkatkan pertumbuhan pesawatnya bagi memastikan syarikat penerbangan tambang murah tempatan itu lebih besar daripada pesaingnya.

‘‘Tumpuan AirAsia kini ialah pertumbuhannya supaya ia mampu berkembang dan terus kukuh serta berharap kerajaan sentiasa memberi sokongan,’’ ujar beliau,

AirAsia kini memiliki aliran tunai sebanyak RM1 bilion.

Katanya, AirAsia tidak mewujudkan polisi dividen kerana syarikat itu memerlukan aliran tunai yang mencukupi bagi membiayai pembelian pesawat-pesawat syarikat itu.

Pada sidang akhbar itu, Fernandes berkata, syarikat penerbangan tambang murah tersebut tidak merancang untuk meraih modal dalam jangka sederhana kerana aliran tunainya begitu kukuh.

Meskipun kadar nisbah hutang berbanding ekuiti atau gearannya 2.26 kali, tetapi beliau percaya angka itu mampu diturunkan, tambahnya. Mengulas mengenai penyenaraian berganda di Bursa Thailand dan penyenaraian syarikat bersekutunya di Thailand dan Indonesia, beliau berkata, ia mungkin dilaksanakan pada tahun depan.

Malah, AirAsia turut akan menyenaraikan AirAsia X pada 2011. Dalam pada itu, Fernandes optimis syarikat itu bakal mencatatkan prestasi kewangan yang lebih teguh pada suku kedua tahun ini.

‘‘Faktor muatan bagi suku kedua tahun ini adalah terlalu baik dan ia mungkin mencecah lebih 70 peratus,’’ ujar beliau.

Pada suku pertama faktor muatan yang dicatatkan oleh AirAsia ialah 74 peratus.

Fernandes juga berkata, AirAsia bakal melancarkan destinasi barunya ke Maldives pada Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: