Monday, June 14, 2010

Kejayaan MARDI menang 13 anugerah


Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman (kanan) dan Dr. Chan Chee Wan (kiri) memberikan penerangan kepada Noh Omar (tengah) mengenai teknologi terkini MARDI.


SETELAH lebih 40 tahun ditubuhkan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus mencatat kejayaan cemerlang.

Kali ini kejayaan dicatat pada Pameran Reka Cipta, Inovasi, Teknologi dan Reka Bentuk Antarabangsa (ITEX) 2010 baru-baru ini.

Pada majlis itu, MARDI memenangi kesemua 13 teknologi yang dipertandingkan dengan lapan emas dan lima perak.

"Daripada jumlah berkenaan, 10 teknologi dianugerahkan Produk Malaysia Paling Inovatif," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar semasa sidang media kejayaan MARDI pada ITEX 2010 di Serdang, Selangor baru-baru ini.

ITEX 2010 merupakan pameran antarabangsa mengenai inovasi reka cipta dan teknologi.

Pameran kali ke-21 itu tampil dengan tema Kreativiti: Laluan Ke Arah Ekonomi Inovatif telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 14 hingga 16 Mei lalu.

Pameran yang disertai 60 agensi termasuk universiti, institusi penyelidikan dan pendidikan, korporat dan organisasi dalam dan luar negara dengan lebih 500 reka cipta atau inovasi dipamerkan.

Noh menambah, apa yang lebih membanggakan, empat daripada lapan emas yang dimenangi adalah inovasi mekanisasi yang dapat membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) meningkatkan pengeluaran makanan serta memudahkan pemprosesan makanan.

"Ciptaan baru akan memberi daya tarikan kepada generasi muda kepada pertanian.

"Jika dulu pertanian berkaitan tenaga empat kerat dengan selut dan lumpur tetapi dengan ciptaan baru memberikan perspektif berbeza," katanya.

Teknologi mekanisasi jelas Noh dapat mengurangkan kos tenaga buruh yang semakin tinggi.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abd Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Pemindahan dan Pengkomersialan Teknologi) MARDI, Ariffin Tawang.

Semua empat inovasi berkenaan dianugerah Produk Malaysia Paling Inovatif iaitu Mesin Pengeluaran Murtabak Berkualiti Secara Mekanikal, Sistem Penggredan Automatik untuk Buah-buahan Tropika, Mesin Mengasing Biji Rambutan dan Mesin Mengasing Biji Cili Tanpa Air.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: