Sunday, June 27, 2010

'Kehebatan' Sebulan Seni Dan Budaya Di KLFest 2010

Sempena pelancaran Festival Kuala Lumpur (KLFest) pada 27 Jun

Persembahan tarian kreatif Artis Istana Budaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, 'Wayang Dalam Bayang' pada 2008.

KUALA LUMPUR: Festival Kuala Lumpur atau lebih popular dengan sebutan 'KLFest' kini tiba lagi dan sambutan selama sebulan festival ini akan dilancarkan pada Ahad 27 Jun di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Dengan pelancaran itu, penghuni kotaraya serta juga para pelancong tempatan dan luar negara akan menikmati 'keindahan serta kehebatan' pelbagai hidangan seni dan budaya daripada 115 aktiviti yang dipersembah artis serta budayawan tempatan dan juga asing.

Kedutaan asing juga akan melibatkan diri dengan menyumbangkan program masing-masing bagi promosi serta 'menjual' seni dan budaya mereka untuk tatapan rakyat Malayasia.

Program memaparkan seni, budaya dan juga warisan akan dipersembah di beberapa lokasi mercu tanda di ibukota antaranya Istana Budaya, Pasar Seni, Menara Kembar Petronas dan Menara KL selain Taman Tasik Titiwangsa.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli, KLFest 2010 yang masuk siri ke-5 kini, adalah untuk 'menyatukan' generasi lama dan yang muda dalam memugar warisan negara.

Penari dari Istana Budaya, Temple of Fine Arts, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Dua Space Dance Theatre mempersembahkan Tarian Perpaduan.

Ini juga bertindak sebagai pemangkin bagi melonjakkan lagi industri kreatif negara, kata beliau.

PROGRAM KL FEST 2010

KLFest dianjurkan bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan dan juga Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Norliza berkata festival itu memberi fokus terhadap imej Malaysia sebagai hub kebudayaan dan juga rekreasi.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli.

Ini akan membariskan artis dan budayawan Malaysia yang menyertai KLFest di atas landasan yang lebih tinggi ketika Malaysia dipertontonkan kepada dunia menerusi KLFest.

JKKN merupakan sekretariat bagi KLFest 2010 di samping Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberikan kerjsama penuh dalam objektif mengembangkan seni dan budaya sebagai kehidupan rakyat Malaysia.

“Empat festival terdahulu, dari 2006 hingga 2009, menunjukkan peningkatan yang konsisten dari segi jumlah pelawat yang menyertai pelbagai aktiviti yang dilangsungkan. Setiap tahun, bulan Julai merupakan masa yang baik bagi sektor pelancongan negara. Pada tahun 2006 (edisi pertama) terdapat 210,000 pengunjung.

"Pada 2009 (edisi keempat), angka itu melambung lebih 100 peratus. Seramai 445,000 pengunjung melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan. Satu penunjuk yang baik. Festival itu menarik perhatian sekurang-kurangnya lima peratus daripada pelancong ke negara ini," kata Norliza.

Tahun ini, KLFest kali ke5 menyajikan persembahan lebih menyeluruh dengan 73 aktiviti seni persembahan meliputi teater, muzik dan tarian selain daripada 27 aktiviti dari aspek seni visdual.

Empat belas aktiviti lagi ialah permainan tradisional serta warisan selain program rekreasi dan pelancongan.

SUMBANGAN SEKTOR SWASTA

Pertambahan dalam aktiviti serta program bagi KLFest 2010 adalah kerana sumbangan serta sokongan pihak korporat. Syarikat-syarikat korporat mula muncul sebagai penaja pada tahun edisi festival 2009.

“Ini adalah satu langkah kehadapan yang baik. Kita mengalu-alukan langkah berani ini, yang merupakan permulaan kerjasama yang baik antara sektor swasta dan awam.

Pakar muzik klasikal India dan pemenang anugerah Grammy, Vishwa Mohan Bhatt beraksi semasa pelancaran KLFest 2008.

"KLFest 2010 merupakan satu tanda aras terhadap sumbangan sektor swasta terhadap masyarakat," kata beliau sambil menambah kata pelbagai syarikat menjanjikan ruang dan aktiviti bagi festival itu.

Ini termasuk galeri seni, teater serta kumpulan tari selain daripada pusat kebudayaan asing dan Canon, penaja utama bagi persembahan konsert 'Ella Bersama Orkestra Simfoni Negara' pada 1 dan 2 Julai di Istana Budaya.

“Syarikat-syarikat ini tidak mendapat sebarang ganjaran kewangan dari Kementerian. Sebaliknya mereka mendapat publisiti serta perhatian terbaik bila menyertai festival ini,” kata Norliza pada sidang akhbar pra-festival yang diadakan baru-baru ini.

Daripada 71 program yang diusahakan pihak kerajaan bagi festival ini, 20 diatur JKKN manakala 10 program pihak swasta diatur oleh Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KL PAC).

Antara seni tradisional Malaysia yang akan dipersembah di festival ini ialah Mak Yong, Bharatanatyam dan Wayang Cina.

Dalam nada yang kontemporari, terdapat gabungan persembahan antara gaya serta genre dari kumpulan dan artis rock termasuk Ella, Hujan, Bunkface dan Zainal Abidin serta konsertnya ‘Alam’ selain persembahan gambus dan juga kumpulan Orang Asli.

Ini dijangka menarik perhatian pelbagai golongan masyarakat.

Keterangan lebih lanjut boleh didapati di laman web www.klfestival.org.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: