Monday, June 21, 2010

Jersi 9 semarak Piala Dunia


Nisha (kiri) dan Eira seronok berlakon dengan pemain bola.


SEIRING dengan demam Piala Dunia 2010 yang melanda masyarakat di seluruh dunia, TV9 menggunakan kesempatan itu dengan menghidangkan sebuah drama bersiri sebanyak 13 episod bermula 6 Jun lalu, setiap hari Ahad pada pukul 10 malam

Drama yang berjudul Jersi 9 itu mengangkat sukan bola sepak sebagai tema utamanya sempena kejohanan paling berprestij itu yang sedang berlangsung di Afrika Selatan.

Menampilkan barisan artis muda yang berbakat, drama bersiri itu dijangka mampu menggamit minat penonton untuk setia mengikuti jalan ceritanya yang menarik.

Nama-nama pelakon popular seperti Fizo Omar, Eira Syazira, Nisha Dirr dan Farish Aziz dipertaruhkan sebagai nadi utama drama tersebut yang sesuai ditonton oleh anak muda khususnya serta seisi keluarga amnya.

Bertempat di studio Utusan Malaysia baru-baru ini, keempat-empat pelakon yang makin membina populariti masing-masing itu disatukan dalam sesi fotografi sempena siaran drama lakonan mereka itu.

Kenangan silam

Sejak kecil, pelakon yang mula mencipta populariti menerusi drama Spa Q, Nisha Dirr sudah meminati sukan bola sepak.

Menurut Nisha, ayahnya yang merupakan penyokong fanatik pasukan Selangor selalu membawa dia dan adik beradiknya yang lain untuk menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di stadium. Sebab itu, apabila berlakon dalam drama Jersi 9, Nisha rasa bertuah kerana dapat mengimbau kenangan lama ketika zaman kanak-kanaknya itu.

“Walaupun saya tidak pandai bermain bola, tetapi saya cukup minat untuk melihat pemainnya beraksi di atas padang. Lagi pun, ramai pemain yang kacak,” katanya dalam nada bergurau.

Tambah Nisha, apabila usia menginjak dewasa, kesuntukan masa dengan jadual seni yang padat membuatkannya tidak lagi berpeluang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium.

“Kalau teringin sangat nak tengok, saya akan luangkan masa untuk tengok menerusi televisyen,” kata Nisha yang bakal muncul dengan telemovie Ustazah Dari UK.

Dalam pada itu, Nisha memberitahu, memegang watak sebagai gadis manja bernama Hani dalam drama Jersi 9 tidaklah terlalu mencabar kerana pernah membawa peranan sebegitu.

“Cuma kadang-kadang ia mencabar apabila perlu bermain dengan emosi kerana elemen-elemen kekeluargaan, percintaan dan persahabatan digabungkan dalam drama ini,” katanya.

Di samping itu, Nisha turut meluahkan keinginannya untuk melebarkan karier lakonannya ke layar perak.

Luah Nisha, filem Man Laksa adalah filem pertama dan terakhirnya buat masa ini. Itu pun hanya watak kecil yang dijayakannya.

“Selepas filem itu, belum ada lagi mana-mana penerbit yang menawarkan untuk berlakon dalam filem mereka.

“Bukanlah tidak bersyukur dengan rezeki berlakon drama, tetapi teringin juga nak merasa berlakon filem dengan watak yang berkarakter,” pintanya.

Eira keluar dari zon selamat

Selama ini, Eira Syazira sering disogokkan dengan watak-watak klise sebagai gadis baik yang dihina, diperlekehkan mahupun dikecewakan.

Jauh di lubuk hati pelakon berusia 25 tahun yang mesra disapa sebagai Eira itu, dia juga mendambakan kelainan dalam lakonannya bagi mengelak dilabelkan sebagai pelakon stereotaip.

Namun, menerusi Jersi 9, Eira diberi peluang untuk keluar dari zon selamat itu bagi membuktikan kepada peminat bahawa dia mampu untuk mendokong peranan lebih daripada watak-watak yang dilakonkan sebelum ini.

Memegang watak bernama Hana, seorang wanita lasak yang bertanggungjawab sebagai pengurus pasukan bola sepak, kepercayaan yang diberi oleh pengarah drama itu, Fairuz Loy, digunakan sebaik-baiknya oleh Eira.

“Seronok sangat berlakon dalam drama ini kerana selain dapat keluar dari kepompong, ia merupakan satu pengalaman baru apabila terlibat dalam drama yang mengetengahkan sukan sebagai tema,” katanya.

Tambah Eira, pengalaman menjadi pengurus sebuah pasukan bola sepak adalah suatu yang mencabar selain memberi pengetahuan baru kepadanya.

“Sebelum melakonkan watak itu, Eira ada membuat rujukan untuk mengetahui selok belok sebagai seorang pengurus.

“Barulah Eira tahu bukan mudah untuk menyandang jawatan itu apabila mempraktikkannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: