Friday, June 4, 2010

Icans lahirkan jururawat terlatih


Kelas pengajian kecil supaya pensyarah dapat memberikan tumpuan pada pelajar.


PELAJAR-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hari ini mempunyai banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Ini kerana kini terdapat banyak institusi pengajian tinggi (IPT) yang disediakan oleh pihak kerajaan mahu pun swasta. Mereka juga boleh memilih apa sahaja bidang yang mereka minati dan menjadikannya sebagai kerjaya setelah menamatkan pengajian kelak.

Salah satu daripada IPT yang mungkin boleh menjadi pilihan pelajar ialah Kolej Integrasi Kejururawatan dan Kesihatan Bersekutu (Icans).

Icans yang baru ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu merupakan institusi pengajian tinggi swasta yang berwawasan menyediakan modal insan terlatih bagi memenuhi kehendak dan pasaran baik di dalam dan luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Icans, Kamariah Ali, kolej ini mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjalankan tiga jenis kursus di peringkat diploma, iaitu Diploma Farmasi, Diploma Fisioterapi dan Diploma Kejururawatan.

Beliau berkata, menjadi misi Icans bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang profesional, tenaga kerja dalam bidang tersebut yang berdisiplin, berdedikasi, bertanggungjawab dan holistik supaya dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.

Tambahnya, penubuhan kolej ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan bagi menambah pendapatan rakyat melalui bidang kerja yang amat diperlukan.

''Pada masa ini, bilangan pelajar bagi ketiga-tiga bidang tersebut ialah seramai 140 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum.

''Kelas-kelas kami kecil kerana kami mahu setiap pelajar memberikan tumpuan pada pembelajaran. Bagi Diploma Kejururawatan, hanya seorang pensyarah bagi setiap 30 orang pelajar. Sementara bagi Diploma Farmasi dan Fisioterapi, seorang pensyarah bagi 40 orang pelajar. Apabila mereka menjalani praktikal, jumlah pelajar dikurangkan pada 15 orang sahaja bagi seorang pensyarah.

''Pensyarah kami mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang masing-masing. Kami menerima pensyarah yang telah praktis selama 10 hingga 15 tahun di hospital sebagai tenaga pengajar kami. Terdapat juga tenaga pengajar yang masih berkhidmat supaya mereka dapat berkongsi maklumat dan ilmu terkini dalam bidang masing-masing.

''Kami menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kerana mahu mempastikan para pelajar yang keluar nanti boleh bekerja di mana-mana, iaitu dalam dan luar negara seperti di Arab Saudi yang memerlukan ramai jururawat terlatih.

"Latihan yang diberi bukan sahaja ilmu tetapi keyakinan dan komunikasi dengan baik sekurang-kurangnya dua bahasa.

''Kos pengajian tidak menjadi masalah kerana bagi pelajar yang tidak berkemampuan, mereka boleh memohon untuk mendapat pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ,'' ujar Kamariah.

Kamariah menjelaskan, graduan Diploma Farmasi dan Diploma Fisioterapi daripada Icans merupakan pekerja profesional terlatih yang diperlukan dalam industri perubatan negara ini.

Graduan farmasi yang dibekalkan dengan kemahiran moden dan cekap ini mempunyai prospek untuk bekerja di hospital-hospital kerajaan dan swasta, farmasi, klinik serta pusat kesihatan, institusi penyelidikan, pakar produk industri penjagaan kesihatan dan dalam industri pengeluaran farmaseutikal.

Manakala graduan Diploma Fisioterapi pula selain berpeluang bekerja di hospital kerajaan dan swasta sebagai jurupulih anggota, mereka juga boleh bekerja di klinik-klinik fisioterapi swasta, pusat kesihatan dan pensyarah di institusi pengajian tinggi swasta.

Jika bekerja di hospital kerajaan, mereka mampu memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 termasuk elaun dan lebih lagi jika bertugas di sektor swasta.

''Pelajar-pelajar ini menjalani latihan praktikal di hospital kerajaan di Pahang dan pihak Kementerian Kesihatan akan memberikan senarai beberapa buah hospital kerajaan lagi di negeri itu bagi pelajar-pelajar Icans.

''Peluang pekerjaan akan sentiasa ada kerana Icans akan sentiasa melihat pasaran semasa dan akan mencari ruang dan peluang pekerjaan untuk graduan-graduan kami,'' jelas Kamariah.

Menurutnya, buat masa ini Icans hanya akan memfokus pada bidang Sains Kesihatan dan Kejururawatan.

Pada masa depan, Icans mungkin akan menambah lebih banyak kursus seperti dalam bidang nutrisi, pemakanan, psikologi dan sijil jururawat kemasyarakatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: