Wednesday, June 2, 2010

Hidup terbuang di Kerala

KUALA LUMPUR: Terperangkap di bumi asing, malah dicederakan ibu kandung mereka. Itu yang di alami empat beradik termasuk tiga kanak-kanak warga Malaysia yang 17 tahun hidup sebatang kara di Kerala, India.

TERBUANG...Rukkiya (kiri) dan Muhd Khairun menunjukkan gambar  empat beradik terbabit.
TERBUANG...Rukkiya (kiri) dan Muhd Khairun menunjukkan gambar empat beradik terbabit.
KENANGAN...empat beradik terbabit.
KENANGAN...empat beradik terbabit.
Mohammad Yusof Al Safeer Mohd Ali Maniam, 23, Mohammad Yunus Al Safeer Mohd Ali Maniam, 20, Nabish Bismeera Al Jafeer Mohd Ali Maniam, 21 dan Nabish Rahimmeera Al Safeer Mohd Ali Maniam, 19, dibawa memasuki negara itu pada 1993 oleh bapa mereka Mohd Ali Maniam Abdullah, 49, menggunakan pas lawatan sosial yang kini tamat tempoh.


Mohd Ali pula sudah 12 tahun menghilangkan diri, meninggalkan keluarganya di sana terkontang-kanting tanpa tujuan menyebabkan mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berhubung meminta pertolongan keluarga mereka di Malaysia.


Mereka kini tinggal bersama ibu kandung mereka K Nadeera, 50, warga negara India yang mengalami masalah kesihatan mental kronik sehinggakan empat beradik ini sering dicederakannya.


Kesengsaraan mereka mendapat perhatian Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia, Datuk Muhd Khairun Aseh yang kini merangka pelan khas bagi membawa pulang semua empat beradik terbabit pulang ke Malaysia.


Muhd Khairun berkata, mereka masih mempunyai seorang lagi adik bongsu, Abdul Manaf, 16, yang mendapat taraf kerakyatan India kerana dilahirkan di sana.


Katanya, adik bongsu bapa mereka, Rukkiya i/k Ibrahim, 37, pernah melawat empat beradik terbabit dua tahun lalu dan mendapati mereka hidup daif, malah terbuang kerana tidak diiktiraf warga tempatan.


Menurut Muhd Khairun, kes itu paling rumit dalam tempoh pihaknya menguruskan misi membawa pulang rakyat Malaysia memandangkan mereka memasuki negara itu menggunakan pas lawatan sosial 17 tahun lalu.


“Mereka hidup di dalam pondok usang yang didirikan dari lumpur tidak ubah seperti dalam filem ‘Slumdog Millionaire’,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.


Menurutnya, lebih membimbangkan keselamatan mereka turut terancam apabila terpaksa hidup berjaga-jaga bimbang dicederakan ibunya yang mengalami sakit mental kronik, malah pernah mencederakan mereka.


Muhd Khairun berkata, pihaknya menyediakan beberapa pelan sepatutnya dalam usaha membawa pulang empat beradik terbabit bagi mendapatkan pembelaan serta penjagaan sempurna di tanah air.“Kami sudah berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi mendapatkan bukti semua mereka ini rakyat Malaysia sebelum memulakan misi membawa pulang empat beradik malang terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: