|
|
SEBUAH rumah yang lengkap tidak hanya dihias indah dengan perabot baru. Elemen yang tidak kurang penting adalah penampilan reka bentuk tingkap. Kreativiti tidak hanya terbatas pada saiz atau bentuk tingkap, pilihan hiasan seperti langsir turut menyerikan tingkap.
Bagi anda yang tinggal di kondominium atau pangsapuri, tingkap kaca bersaiz besar paling sesuai. Ia turut berfungsi sebagai pintu untuk penghuninya keluar ke beranda rumah mereka. Justeru itu, saiz besar dari siling ke lantai memerlukan fabrik langsir yang banyak sebagai kemasan. Penggunaan bidai tinggi menegak serta boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menarik talinya. Bagi menyeimbangkan ruang, pilihan rona natural adalah pilihan terbaik. Bagi mereka yang ingin menggantikan kaca biasa dengan kaca bercorak, anda boleh memilih saiz tingkap kecil dan bulat. Namun, anda perlu kreatif menghias dengan langsir.
Bagi membenarkan cahaya semula jadi masuk ke ruang dalaman, tingkap tinggi dan sempit menjadi pilihan. Ia biasanya diletakkan di tepi pintu.
Sementara itu, tingkap berbentuk kubah mampu menyerlahkan penampilan ruang. Tingkap jenis itu menarik tanpa kemasan langsir atau bidai. Keistimewaannya, anda bebas meletakkan aksesori hiasan jika sesuai.
Perisian
Bagi anda yang masih tercari-cari penyelesaian menghias tingkap, kaedahnya kini lebih mudah dan praktikal menggunakan perisian.
Terbaru, pakar hiasan tingkap dan pembekal fabrik perabot Elyza‘s memperkenalkan perisian hiasan rumah, Eassy-Decor.
Ia membolehkan pemilik kediaman memilih hiasan tingkap terbaik mengikut cita rasa dan konsep mereka.
Pengarah Urusan Elyza‘s Home (M) Sdn Bhd Teh Kiong Hui, berkata, Eassy-Decor antara khidmat pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Dengan adanya perisian tersebut, pelanggan boleh memilih, memadankan dan menguji kreativiti untuk menghasilkan hiasan tingkap terbaik untuk kediaman mereka.
Menerusi perisian Eassy-Decor pemilik kediaman berpeluang memilih hiasan tingkap yang sesuai dengan pelbagai pilihan tanpa risiko kesilapan memilih warna dan rekaan. Eassy-Decor mengambil alih kerja meneka dan percubaan yang berisiko berlaku kesilapan tanpa perlu mengeluarkan belanja serta menjimatkan masa.
Lima langkah mudah disediakan bermula dengan pemilihan pelan lantai merangkumi penelitian ruang, jenis tingkap dan ukuran.
Seterusnya bahan dipilih dengan mengambil kira rona dinding, pencahayaan, perabot dan aksesori hiasan.
Penggunaan aplikasi Eassy-Decor yang mesra pengguna membolehkan kombinasi dicipta tanpa had.
Ia boleh direka letak atau digerakkan dengan mudah pada segenap inci ruang mengikut pilihan pemilik kediaman.
Langkah seterusnya adalah pemilihan hiasan tingkap berdasarkan gaya tingkap kerana lebih kurang 500 tema pilihan tersedia dengan 2,000 pilihan fabrik.
Kemudian pratonton tiga dimensi (3D) dilakukan dengan suntingan penataan cahaya dan persembahan latar ruang supaya anda dapat melihat sepenuhnya hasil padanan Eassy Decor tadi.
Menggubah ruang kediaman daripada hasil 3D menjadi realiti dapat membantu pemilik kediaman membuat perancangan terbaik dan penilaian dalam membuat pilihan hiasan tingkap.
Tenunan
Dalam pada itu, Elyza‘s turut memperkenalkan koleksi terbaru 2010.
Antaranya, koleksi tradisional, Angela yang menampilkan kombinasi tenunan yang klasik dengan warna pelet.
Bagi koleksi Arkara, motif kontemporari menjadi pilihan dengan sedikit rona moden. Padanan mewah dan fantastik ini menyerlahkan ruang rumah anda. Di samping itu, koleksi segar dan semula jadi, Harmoni nampaknya memberi sentuhan moden anggun untuk rumah. Pilihan warna yang garang bukan sahaja mewujudkan keharmonian, ia juga menampilkan gaya yang berbeza. Tidak ketinggalan, Lagoona memberi inspirasi semula jadi yang banyak bermain dengan warna bumi seperti coklat dan hijau tua.
Kombinasi fabrik langsir dan sofa serta aksesori hiasan dalaman moden menyerlahkan koleksi Leoni. Dengan kreativiti motif pilihan ternyata mengubah suasana suram tampil hebat.
Orang ramai yang berminat mencuba pelbagai koleksi ini, boleh layari http://www.elyza.com/html/eassy decor.aspx atau www.elyza.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: